Leeds United pula pecat pengurus

Jesse Marsch disingkirkan selepas kelabnya hanya menang empat perlawanan musim ini.
- Advertisement -

Leeds United memecat pengurus berasal dari Amerika Syarikat, Jesse Marsch ketika kelab itu berada di tangga ke-17 Liga Perdana Inggeris, hanya satu tempat di atas zon penyingkiran.

- Advertisement -

Marsch menyertai Leeds pada Februari 2022, menggantikan pengurus Argentina, Marcelo Bielsa dan berjaya memastikan kelab terus berada dalam liga utama pada hari terakhir musim lalu.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Jesse dan kakitangan sokongannya atas usaha mereka dan mengucapkan selamat maju jaya untuk masa depan,” kata Leeds dalam satu kenyataan.

“Proses pelantikan ketua jurulatih baharu sedang dijalankan. Kami akan memastikan penyokong mendapat maklumat terkini sepanjang hari-hari mendatang.”

Leeds hanya memenangi empat daripada 20 perlawanan liga musim ini dengan 10 kekalahan dan enam seri.

Marsch, 49, mencatatkan 11 kemenangan dalam 37 perlawanan yang dikendalinya dan kali terakhir memenangi perlawanan liga pada 5 November lalu apabila menewaskan Bournemouth 4-3.

Marsch sebelum ini pernah melatih RB Leipzig, New York Red Bulls dan Red Bull Salzburg.

Leeds akan bertandang ke pasukan tempat ketiga, Manchester United esok, sebelum berdepan pasukan yang sama sekali lagi pada Ahad ini.

Kelab Yorkshire menyatakan trio jurulatih, Michael Skubala, Paco Gallardo dan Chris Armas akan bertanggungjawab ke atas pasukan untuk perlawanan di Old Trafford. – REUTERS