Muhaimin mampu jadi pemudah cara warga Ayer Kuning

- Advertisement -

TAPAH: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menegaskan bahawa calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Ustaz Abdul Muhaimin Malek mampu memainkan peranan sebagai pemudah cara rakyat di kawasan berkenaan, meskipun berada di blok pembangkang.

Menurut beliau, pandangan segelintir pihak yang mempersoalkan keberkesanan peranan wakil rakyat pembangkang adalah tidak tepat dan perlu diperbetulkan.

“Saya ingin tegaskan di sini ialah, tentu kadang-kadang orang sebut bahawa dia jadi pembangkang boleh buat apa? Saya nak bagi tahu, wakil rakyat ni dia hanya kita panggil sebagai pemudah cara. Macam kami semua ni Ahli Parlimen.

“(Ada bersama) Permatang Pauh, Parit Buntar, belakang ni daripada Terengganu tu. Ni berapa orang daripada Pulau Pinang cuma kita menjadi pemudah cara,” katanya dalam sidang media harian PN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning di sini, pagi ini

Turut hadir Ustaz Muhaimin; Pesuruhjaya PAS Penang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff; Ahli Parlimen Parit Buntar, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, rakyat perlu sedar bahawa sepanjang sejarah DUN Ayer Kuning, kawasan itu tidak pernah diwakili oleh calon daripada PAS atau mana-mana parti pembangkang.

“Orang kata dah sekali tak pernah pun diwakili oleh calon daripada Perikatan Nasional ataupun PAS atau pembangkang. Sejak kewujudan, sejak daripada awal dunia ni wujud, wakil yang mewakili ini tak ada wakil daripada PAS ataupun pembangkang yang lain.

“Maka sudah tentulah ada benda yang tak betul, kan? Ada benda yang tak betul,” katanya yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menurut Ustaz Idris lagi, kehadiran wakil rakyat yang aktif seperti Ustaz Muhaimin mampu membantu rakyat melalui pemantauan dan laporan secara langsung kepada pihak bertanggungjawab.

“Kami yakin dan percaya bahawa apabila Ustaz Muhaimin dengan tekad yang ada pada hari ini, kita menjadi pemudah cara kerana pegawai-pegawai ni kadang-kadang dia pun tidak sempat nak tengok sebenarnya.

“Sebab tu kita ada JKK, JKK (Jawatankuasa Keselamatan Kampung) ni sebagai mata telinga kepada kerajaan melaporkan kepada penghulu-penghulu, kepada DO (Pegawai Daerah).

“Kami ni pula kalau wakil rakyat pula kami rajin turun ke bawah, rajin sembahyang berjemaah, pergi jumpa surau, minum di kedai kopi, sebagainya.

“Maka insya-Allah saya yakin dan percaya tekad yang Ustaz Muhaimin buat ni ialah merupakan itulah yang juga kami laksanakan dengan keadaan kami kapasiti sebagai wakil rakyat pembangkang,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa isu pembangunan seharusnya tidak dijadikan bahan politik kerana dana pembangunan adalah hasil cukai rakyat dan bukan milik mana-mana parti.

“Pegawai kerajaan dia khidmat dengan servis dia ialah ‘government of the day’. Dulu mereka waktu mereka menjadi zaman PH pernah memerintah 22 bulan pun itulah pegawai dia.

“Zaman PERIKATAN NASIONAL memerintah pun itulah pegawainya. Zaman orang kata, UmDAP memerintah di Perak hari ni pun itulah pegawainya. Jadi tak timbul persoalan berkenaan dengan nanti tuan-tuan. Ada setengah orang kata mereka hujahlah, kan.

“Macam saya sebut dulu yang keduanya, kalau selalu sebelah sana duk bercakap tentang apa Ustaz Muhaimin boleh buat kalau dia menang, dia parti apa? Kita bagi tahu juga, wang jalan yang dibuat tu ialah bukan wang duit daripada parti. Semua duit daripada kerajaan.

”Saya cabar mereka tolong tunjuk 1 inci jalan yang dibuat oleh duit daripada Umno, duit daripada DAP, duit daripada PKR, duit daripada parti-parti. Awak semua duit kerajaan, kan. Jangan duk bercakaplah bab itu, bab politik pembangunan ni.

“Siapa memerintah pun dia akan guna duit kerajaan. Kami memerintah di Terengganu, kami tak sebut kata ni duit PAS. Kami tak sebut kata duit Bersatu. Duit kerajaan.

“Bila sebut duit kerajaan, rakyat yang bayar cukai pintu, yang bayar cukai tanah, duit itulah kita ambil untuk pembangunan. Samalah dalam konteks ni. Jadi bab-bab pembangunan ni tak usah duduk bercakaplah, buat malu kat orang saja,” tegasnya.

Mengulas perkembangan kempen PRK DUN Ayer Kuning, beliau memaklumkan bahawa reaksi daripada pengundi kini jauh lebih positif berbanding semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Setakat hari ni, perkembangannya mungkin agak berbeza dengan PRU yang ke-15, Insya-Allah. Dan kita tengok berapa kawasan-kawasan yang dahulunya agak negatif tetapi respon daripada pasukan-pasukan kempen kita, termasuk calon-calon pergi sana pun nampak agak positif,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai sensitiviti pengundi bukan Melayu yang dikatakan semakin celik terhadap integriti pemimpin.

“Antara pengundi bukan Melayu ni, dia pun ada integriti, ada soal moral. Mereka tak boleh terima bila pemimpin cakap tak serupa bikin. Apabila janji dulu turun Najib barang turun, sekarang turun Najib barang naik, kan?

“Apabila turun Najib, turun BN, apa nama GST tak ada, cukai tak ada. Sekarang macam-macam. Jadi orang Cina, orang meniaga, orang yang kerja sendiri, sebab tu mereka tak boleh terima pemimpin cakap tak serupa bikin.

“Dia ada sifat orang panggil, dia pun ada integriti, yang ada pegang dengan soal moral. Mereka tidak boleh menerima tentang sikap-sikap tunjuk. Dulu mereka ada satu harapan. Sebab tu nama pun harapan. Harap tu harap, rupanya tak boleh harap,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!