Usul 30 peratus calon muda, 2 usul tergempar diluluskan

Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-63

- Advertisement -

ALOR SETAR: Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-63 meluluskan tiga usul untuk dibawa ke Muktamar Tahunan PAS Pusat yang akan berlangsung di Kompleks PAS Kedah, esok.

Usul pertama yang dicadangkan adalah untuk mencalonkan 30 peratus golongan muda sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ia merupakan satu-satunya usul yang lulus untuk dibahaskan daripada enam usul dibawa oleh lima kawasan Dewan Pemuda PAS, selain dua usul tergempar.

Usul yang dibawa oleh Pemuda PAS Kawasan Bangi itu dibahaskan lima perwakilan daripada Terengganu, Perak, Johor, Pahang dan Kedah.

Pencadang, Afif Nur Fuza berkata, usul berkenaan dibawa bagi memastikan lebih ramai calon anak muda diberi peluang untuk diangkat sebagai calon.

Katanya, sebelum ini, calon muda berusia 40 tahun ke bawah yang diangkat menjadi calon mewakili PAS hanya sekitar 10 hingga 15 peratus.

Menurutnya, di sesetengah negeri, tidak sampai lima peratus calon muda yang diangkat untuk mewakili PAS bagi kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perwakilan daripada Terengganu, Ahmad Mukrim Adnan mencadangkan Pemuda PAS dapat mengikut jejak Ketua Pemuda bagi memenuhi landskap politik selepas PRU15.

Katanya, Pemuda PAS Terengganu optimis Ketua Pemuda Negeri juga berintegriti untuk diangkat sebagai calon kelak.

“Inilah harapan dan hasrat dari semua negeri pada peringkat Pemuda Negeri, untuk lihat calon PRU15 adalah dibarisi wajah segar dan memenuhi hasrat PAS untuk menjadi negara teknokrat,” katanya.

Sementara itu, perwakilan Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan, Hafizul Hisham berharap gerak kerja Pemuda PAS selari dengan hasrat untuk memenuhi tuntutan meletakkan lebih ramai calon muda.

Katanya, persiapan gerak kerja setiap peringkat, termasuk aspek pengetahuan mengenai pengundi perlu dinilai, sejauh mana kemampuan Pemuda untuk bertanding pada PRU15 nanti.

Perwakilan Pemuda PAS Johor, Azlan Alias pula berpandangan usul itu perlu diluluskan mengambil kira faktor semasa anak muda kini yang lebih gemarkan ideologi bukan Islam.

“Tiba masa menenggelamkan ideologi yang merosakkan akidah dan agama dengan menaikkan anak muda sebagai pimpinan atau ideologi luar akan bertakhta.

“PAS perlu ubah pemikiran rakyat agar anak muda kembali berpandukan Islam melalui momentum lebih dekat iaitu melahirkan anak muda yang cintakan Islam, ulamak dan tanah air,” katanya.

Pemuda PAS Johor turut meletakkan syarat tertentu pemilihan calon Pemuda, iaitu calon mesti tahu kepentingan kepada Allah dan Rasul SAW, patuh dan taat kepada PAS serta berintegriti.

Perwakilan PAS Kedah, Hamadah Shauki pula mencadangkan calon muda daripada PAS mestilah calon yang diterima pengundi dan bukan calon di akhir usia muda.

Manakala, perwakilan PAS Pahang mencadangkan supaya PAS mempersiapkan calon muda dengan latihan dan modul kepimpinan baharu.

Sementara itu katanya, Pemuda PAS juga perlu diberikan kefahaman jelas serta gerak kerja pilihan raya yang pantas.

Dua usul tergempar lain adalah usul mendesak PAS  memperkukuhkan jalinan muafakat dalam kalangan parti politik Melayu dan parti bukan-Melayu tidak ekstrem.

Usul juga mendesak PAS, Perikatan Nasional (PN) dan parti yang bersama PAS untuk menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Usul tergempar seterusnya adalah usul antarabangsa yang menggesa PAS untuk tampil menggerakkan penyatuan ummah dan menyusun strategi untuk mengangkat agenda itu. – HARAKAHDAILY 2/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -