ALOR SETAR: Pegawai Khas Menteri Besar, Salmy Anas Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Anas, menafikan beliau melakukan kekasaran terhadap wakil peniaga seperti tular di TikTok ketika ini.
Katanya, insiden di tapak pasar malam Jalan Pegawai itu cuba dikaitkan dengannya, sedangkan beliau ke sana untuk meninjau masalah membabitkan peniaga di tapak pasar malam tersebut yang ditular sebelum ini.
“Saya ke sana (tapak pasar malam) kira-kira jam 11:30 malam tadi, untuk berjumpa ketua peniaga di situ tapi apabila saya sampai, terdapat dua individu lain bersama.
“Saya mengambil keputusan tangguhkan dahulu perbincangan kerana nak elak libatkan hal-hal politik kerana dua individu terbabit merupa antara yang selalu membuat kenyataan memburukkan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Kata Cikgu Anas lagi, ketika beliau masuk semula ke kereta, salah seorang daripada dua individu berkenaan menjerit-jerit memanggil namanya berkali-kali kononnya mengajaknya berbincang.
“Saya dapat rasanya mereka nak mengena saya, jadi saya minta mereka berhenti membuat rakaman video dan bersetuju berbincang. Mereka mengajak saya ke tempat lain tetapi saya enggan.
“Ketika mengelak diri saya daripada dipaksa oleh individu berkenaan, saya telah tersentuh badannya dan beliau berpura-pura jatuh, kemudian menuduh saya mengasarinya.
“Dia menjerit memanggil peniaga lain mendakwa saya telah lakukan kekasaran kepadanya,” jelas beliau yang berikutan itu mengajak wakil peniaga tapak pasar malam itu masuk ke dalam kereta bersamanya.
Namun beritahunya, ketika itu juga beliau diserbu oleh peniaga lain dan salah seorang daripada mereka ‘mencekak’ kolar bajunya dan menyuruh beliau keluar daripada kereta.
Walau bagaimanapun kata Cikgu Anas, keadaan menjadi kembali reda apabila beliau meminta mereka beredar dengan baik, tetapi agak kesal video yang ditular itu memaparkan seolah-olah beliau telah melakukan kesalahan.
Video berdurasi 1 minit 16 saat itu memaparkan Pegawai Khas Menteri Besar itu telah diserbu oleh beberapa individu kononnya beliau melakukan kekasaran terhadap peniaga pasar malam tersebut.
Berikutan kejadian tersebut, Cikgu Anas telah membuat laporan polis, memandangkan insiden malam tadi yang ditular oleh pihak berkenaan adalah tidak benar dan dianggap cubaan provokasi terhadap beliau. – HARAKAHDAILY 21/10/2024