SHAH ALAM: PAS Selangor menuntut Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang terlibat agar tidak lagi membuang masa dalam menguruskan pihak-pihak bertanggungjawab dalam mengatasi isu banjir di negeri itu.
Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata, kegusaran terhadap kejadian banjir kilat yang tidak menentu dan sukar dijangka terus menjadi isu membimbangkan rakyat negeri itu, khususnya di kawasan sering dilanda seperti Taman Sri Muda.
“Kebimbangan ini menyebabkan penduduk Taman Sri Muda sanggup melangkah negeri ke Ayer Kuning (di Perak) bertemu Menteri Besar Selangor untuk menyerahkan memorandum penduduk agar penyelesaian banjir boleh dimuktamadkan.
“Isu penyelesaian jangka panjang dibangkitkan hampir setiap kali dalam Sidang Negeri kepada Exco Kemajuan Infrastruktur, Pemodenan Pertanian dan Perladangan. Isu projek tebatan banjir sakit yang bertangguh lama dan beberapa kejadian yang memerlukan penyelesaian lebih kolektif dan segera daripada pelbagai pihak,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Selangor merupakan negeri yang bakal mencatatkan kerugian harta sangat tinggi sekiranya banjir besar melanda, dan keadaan banjir kilat kerap sepanjang tahun juga sudah sangat membebankan rakyat.
“Selangor sepatutnya mampu berbuat lebih baik daripada kaedah sedia ada dan Selangor ‘deserves better’,” katanya.
Terdahulu, lebih 500 penduduk dari Taman Sri Muda, Bukit Kemuning dan Batu Lapan berhimpun di sini bagi menyatakan bantahan terhadap masalah banjir yang tidak berkesudahan di kawasan mereka, semalam.
Jurucakap penduduk, Umagandhan Krishnan berkata, mereka juga nekad untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari yang sedang berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning bagi menuntut jalan penyelesaian segera. – HARAKAHDAILY 21/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!