SEMPENA lawatan pemukiman di Pejabat Tanah Jajahan Pasir Mas, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar turut mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Pembangunan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (KESBAN) Fasa 1 di Ban Banjir Sungai Lanchang Lemal, Pasir Mas, Kelantan pada 25 Ogos 2022.
Turut hadir bersama, YB Dato’ Sr. Haji Azami Mohd Nor, Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri Kelantan dan YB Dato’ Hjh Siti Zailah Mohd Yusoff, Timbalan Menteri KPWKM merangkap Parlimen Rantau Panjang.
Projek ini dikawal selia oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kelantan dengan peruntukan sebanyak RM656 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada 13 Ogos 2024. Pembinaan Fasa 1 ini melibatkan empat (4) skop utama iaitu, Ban Banjir Sungai Golok (26.2 km), Ban Banjir Sungai Lanchang Lemal (19.84 km), Kuala Jambu Outlet Gate dan Sungai Mentua Bunding.
Objektif bagi projek ini adalah mengurangkan masalah banjir di kawasan yang berdekatan Sungai Golok, meningkatkan keselamatan dan kedaulatan negara, infrastruktur tebatan banjir untuk 50 average recurrent interval (ARI), mendalamkan muara Sungai Golok, penambahbaikan laluan bot dan perlindungan muara Sungai Golok dari risiko banjir pantai.
Sehingga 16 Ogos 2022, kemajuan keseluruhan fizikal kerja-kerja sebenar di tapak telah mencapai 64 peratus. Projek ini akan mempunyai kesinambungan dalam projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2 yang melibatkan Pembinaan Floodwall Rantau Panjang sepanjang 2.5 kilometer (km), Pembinaan Ban Banjir (left bank) Sungai Lanchang Lemal (20km), Pembinaan Ban Banjir (ban tanah) Sungai Golok dari Kampung Kedotak ke Sungai Lanas (21km) dan Pembinaan Ban Banjir Sungai Golok dari Kampung Lanchang ke Kampung Kedotak (19km).
Kejadian banjir pada Disember 2021 dan Februari 2022 telah melibatkan beberapa buah kampung bedekatan Sungai Lanchang Lemal iaitu Kampung Tersang, Kampunh Terusan, Kampunh Bakat, Kampung Gual Periok dan Kampung Gual Tok Deh, Pasir Mas dinaiki air sehingga menyebabkan banjir termenung dan perpindahan penduduk.
Besar harapan saya agar projek ini dapat berjalan dengan baik sehingga semua fasa siap sepenuhnya demi manfaat dan kemudahan rakyat Rantau Panjang khususnya dan seluruh lembangan Sungai Golok amnya. – HARAKAHDAILY 25/8/2022
MB lawat tapak projek PLSB KESBAN Fasa 1
- Advertisement -