Rampas tanah, usir peneroka, dibayar cuma RM5,000

Sebaliknya tanah diberikan kepada orang luar

- Advertisement -

TAPAH: Tanah seluas kira-kira 1,000 ekar di kawasan Tronoh Mines, Timah Dermawan atau kini Kampung Sri Timah Dermawan dikatakan telah diberi kepada dua individu dari luar Perak, menyebabkan peneroka asal di kawasan itu diusir keluar secara tidak adil.

Pendedahan itu dibuat oleh penyampai maklumat, Ahmad Abdullah (bukan nama sebenar), yang berkata penduduk asal termasuk pekebun kecil dihalau keluar sejak tahun 2019 dari tanah yang telah diusahakan mereka bertahun-tahun lamanya.

Beliau menjelaskan bahawa rampasan itu dilakukan secara berperingkat, bermula dengan 600 ekar, diikuti 400 ekar lagi yang ditanam sawit dan kini sudah berusia lebih 20 tahun oleh penduduk kampung.

- Advertisement -

Tambahnya, segala hasil sawit tersebut diambil oleh syarikat gergasi dari Selangor yang mengaut keuntungan daripadanya.

“Tronoh Mines, Timah Dermawan, dulu kami panggil kapal satu kapal dua. Tronoh Mines kapal satu, kapal dua dan tengah-tengah itu ada Timah Dermawan (Kini Kampung Sri Timah Dermawan).

“Ada 1,000 ekar bagi pada dua peneroka. Dua peneroka ini pula India daripada Selangor. Saya tengok dengan mata saya sendiri, saya dah pergi tengok tempat tu,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, peneroka asal yang terdiri daripada bangsa Melayu, India dan Pakistan langsung tidak diberi pertimbangan wajar, malah hanya diberikan pampasan RM5,000 tanpa mengambil kira keluasan tanah.

“Jadi peneroka asalnya, dia orang halau. Peneroka asal dia orang halau. So, bawa masuk orang Selangor. Bawa masuk orang Selangor sampai sawit-sawit pakcik-pakcik, pekebun-pekebun kecil semua dia orang rampas.

“Dia orang rampas, dia orang bayar pampasan sebanyak RM5,000. Kalau sepuluh ekar pun bayar RM5,000 kalau lima ekar pun bayar RM5,000. Keluarkan mereka daripada situ (tanah yang ditanam kelapa sawit itu),” katanya.

Ahmad berkata perkara itu diketahui penduduk setempat, namun mereka tidak tahu saluran untuk membuat aduan kerana sering berdepan jalan buntu apabila berurusan dengan pihak berkuasa.

“Kawasan lokasi ini Ayer Kuning Tronoh Mines Timah Dermawan, orang sini semua tahu. Tapi mereka tak tahu nak buat macam mana sebab (semua orang berpihak kepada) kerajaan. Bila pergi pejabat tanah (berpihak kepada) kerajaan. Bila pergi sana (berpihak kepada) kerajaan,” katanya.

Beliau yang menegaskan tiada sebarang kepentingan dalam isu itu, berkata, dirinya terpanggil untuk bersuara demi nasib peneroka kecil yang semakin terpinggir.

“Saya tak ada kepentingan dalam bidang dalam benda ini satu pun. Tapi saya kesian. Masalah ni hari ni berlaku pada orang ini, esok akan berlaku pada kita. Ke mana kita nak pergi?

“Yang datang tu kaya-raya. Yang kaya-raya semua tu. Tapi orang tempatan yang ada sawit tiga ekar lima ekar dihalau. So sampai bila benda ni akan berlaku?

“Kalau setakat lima puluh ekar, seratus ekar saya tak ada masalah, tak apalah. Orang luar boleh datang melabur tempat kita. Tapi seribu ekar ni bukan satu benda yang kecil tahu.

“Saya rasa akan datang apa akan berlaku? Apa akan berlaku kepada negeri Perak ni. Pada daerah Batang Padang. Kenapa MB (Menteri Besar) tak ada mata ke? Tak ada otak ke?

“Kalau MC (Mining Corporation) dulu kan MC dah mati. Kenapa tak bagi kepada orang tempatan? Sampai bila perkara ini?” katanya kecewa dengan tindakan kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 21/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!