Warkah buat Feminis dan LGBT

- Advertisement -

PEREMPUAN dan lelaki asalnya satu. Dalam lelaki ada perempuan. Masa Allah mula-mula cipta Nabi Adam, ada unsur perempuan di dalamnya. Kemudian selepas itu, barulah Allah keluarkan unsur perempuan itu menjadi satu jasad yang lain bernama Hawa.

- Advertisement -

Itulah yang Buya Hamka tafsirkan dalam firman Allah S.W.T:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu, dan yang menjadikan daripada itu pasangannya, dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.”

[an-Nisa’: 1]

“Daripada diri yang satu dibahagi dua dan kemudian dipersatukan kembali itulah asal usul berkembang biaknya manusia ini.”

(Hamka, Berbicara Tentang Perempuan)

Hal ini tidak dapat diterangkan secara saintifik. Namun itulah yang harus kita imani. Bahawa sains tidak dapat menjelaskan semua kejadian tuhan. Ilmu Allah terlalu tinggi untuk dicapai manusia. Tapi ia juga tak bermaksud bercanggah dengan sains. Cuma perkembangan sains hari ini belum sampai ke tahap itu.

Ayat itu turut memaksudkan, walaupun seseorang dilahirkan khunsa, mereka tetap sama ada lelaki atau perempuan. Salah satu sahaja. Mereka tak boleh jadi kedua-duanya. Perkara ini dapat disahkan melalui kajian saintifik. Dari segi anatomi, pakar perubatan boleh tentukan sama ada khunsa itu lelaki atau perempuan. Kalau lelaki, mereka perlu hidup cara lelaki.

Kalaupun kita pilih untuk merubah diri menjadi 100 peratus perempuan, tetap tak akan menjadi perempuan sebenar. Badan kita akan rosak, emosi kita akan binasa. Jangan salahkan Islam jika nafsu kita memilih untuk menukar jantina. Salahkan nafsu itu yang menyimpang dari kejadian kita yang sebenar.

Bukan sahaja Islam yang kata perempuan dari tulang rusuk Adam (Hadis Mauquf Ibn Abbas), tetapi juga terdapat dalam kepercayaan Yahudi dan Kristian (Perjanjian Lama: Kejadian 2: 21-22).

Ayat itu turut menjelaskan, lelaki tak dapat hidup tanpa perempuan. Fitrah manusia dicipta berpasangan. Hebat setara manapun lelaki, tetap perlukan perempuan dalam hidupnya. Ibu, kakak, adik, isteri, anak-anak, semua itu membantu menyempurnakan kelelakian seorang lelaki.

Lelaki tak dapat penuhkan kekurangan yang ada pada lelaki. Perempuan sama perempuan apatah lagi. Hidup ini perlukan pertimbangan analitikal dan emosional. Dominan lelaki itu analitik, manakala perempuan itu emosi. Bila kedua elemen ini bersatu, inilah yang membuatkan istimewa manusia berbanding binatang, malaikat, jin dan segala makhluk lain.

Dan hakikatnya, lelaki tak akan jadi manusia tanpa wanita. Begitulah sebaliknya. Kerana kejadian manusia ini lelaki dan wanita. Tiada langsung istilah satu gender lebih mulia berbanding yang lain. Tuhan pandang kita semua sama. Ya, kita beli beras. Tapi dia lebih pandai masak nasi. Kita beri nafkah, tapi dialah yang menguruskan nafkah itu.

Bezanya hanyalah pada takwa. Perempuan boleh jadi lebih mulia dari lelaki jiwa mereka bertakwa. Lelaki juga boleh jadi lebih hina dari perempuan, jika mereka fasik. Peliknya, golongan Modenis ramai menyokong Feminis. Sedangkan perjuangan itu kini dicemari prejudis pada kejadian tuhan. Seolah mengatakan perempuan boleh hidup tanpa lelaki. Perempuan boleh gantikan lelaki. Apa lelaki buat, perempuan pun boleh buat!

Peliknya, golongan Modenis menyokong juga LGBT. Padahal ianya bercanggah dengan sains. Sains kata jantina ditentukan oleh anatomi. Tapi LGBT kata jantina ditentukan oleh nafsu sendiri! Modenis sepatutnya evidence-minded, empiris, rasional. Tetapi kenapa dalam bab ini, mereka menolak sains umpama pendukung flat-earth dan teori konspirasi?

Kembalilah kepada Islam. Jangan tipu akal sendiri dengan perjuangan bertunjangkan nafsu. Akal yang sepatutnya memimpin nafsu bukan sebaliknya. Keluar dari Islam tak akan selesaikan masalah. Akal, sains tetap kata lelaki itu lelaki, perempuan itu perempuan. Lelaki perlukan perempuan dan perempuan perlukan lelaki. 

Membiarkan pertembungan akal dan nafsu terus berlaku dalam diri hanya akan membinasakan. Itulah yang menyebabkan pendukung ideologi mengarut akhirnya mengambil jalan mudah menghilangkan peranan akal dengan arak dan dadah. Kerana masih cuba melawan petunjuk akal yang cuba menyedarkan.

Tuhan yang cipta kita. Tuhan lebih tahu mengenai kita. Tubuh kita hanya pinjaman. Kelak akan dikembalikan kepada tuhan:

انا لله وإنا إليه راجعون.

“Kembalilah pada tuhan.”

ALANG IBN SHUKRIMUN
22 Rejab 1442
6 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 6/3/2021

- Advertisement -