Kenapa MP DAP berpihak membela penceroboh tanah?

- Advertisement -

KUANTAN: PAS Pahang menuntut agar tindakan undang-undang berkaitan pencerobohan tanah dilaksanakan secara adil dan konsisten di seluruh negara tanpa mengira latar belakang atau pengaruh politik individu yang terlibat.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjayanya, Hassanuddin Salim menyuarakan kebimbangan terhadap perkara yang disifatkan sebagai ketidakadilan dalam penguatkuasaan undang-undang berhubung isu pencerobohan tanah, khususnya di Pahang.

“Kita menyaksikan dengan penuh kerisauan bagaimana segelintir individu secara terang-terangan menghina undang-undang dan kedaulatan Pahang dengan aktiviti pencerobohan tanah.

“(Iaitu) untuk penanaman durian Musang King secara haram, dengan sokongan pihak-pihak tertentu yang berniat memporak-perandakan keharmonian negeri,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Semantan, membandingkan tindakan undang-undang di Perak yang menurutnya lebih tegas apabila seorang bekas tentera berusia 51 tahun dijatuhi hukuman penjara dua tahun serta denda RM50,000 atas kesalahan menceroboh hutan simpan kekal.

“Namun di Pahang, ratusan penceroboh tanah untuk penanaman durian Musang King bukan sahaja bebas tanpa hukuman, malah mendapat pembelaan politik daripada pemimpin tertentu! Mengapa wujud keadilan dua darjat ini? Adakah kerana faktor politik atau perkauman?” katanya.

Hassanuddin turut menegur tindakan ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui daripada DAP yang cuba menghalang tugas penjawat awam semasa operasi penguatkuasaan dijalankan.

“Yu Hui bukan sahaja mencerminkan penghinaan terhadap undang-undang tetapi cubaan melemahkan institusi kerajaan, malah beliau sanggup ditahan demi mempertahankan penceroboh!

“Bagaimana seorang wakil rakyat yang sepatutnya menegakkan undang-undang kini menjadi perisai kepada mereka yang melanggarnya?” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa kerugian hasil Pahang akibat pencerobohan tanah mencecah RM30 juta dalam tempoh 10 tahun merupakan satu jumlah yang disifatkan besar dan boleh dimanfaatkan untuk membina pelbagai infrastruktur seperti sekolah dan klinik kesihatan untuk rakyat.

“Lebih menyakitkan hati, tindakan ini jelas mengabaikan titah Sultan Pahang yang telah menzahirkan kemurkaan terhadap pencerobohan tanah. Adakah DAP kini berani mencabar kedaulatan institusi kesultanan?” soalnya.

Sehubungan itu, PAS Pahang menuntut pelaksanaan undang-undang saksama terhadap semua kes pencerobohan tanah di seluruh negara, serta siasatan menyeluruh terhadap mana-mana pemimpin politik yang cuba menghalang penguatkuasaan undang-undang.

“Rakyat Pahang perlu sedar bahawa ini bukan soal perkauman tetapi soal kedaulatan undang-undang. Apabila kita membenarkan sesetengah pihak melanggar undang-undang dengan bebas, kita membuka pintu kepada ketidakadilan yang lebih besar pada masa hadapan.

“Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk terus menegakkan kebenaran dan keadilan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!