TELUK INTAN: Kisah perjalanan hidup zaman kanak-kanak Imam Bukhari daripada keluarga yang serba kekurangan wajar jadi pemangkin kepada ibu bapa dalam membesarkan anak-anak.
ADUN Manjoi, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Apresiasi SRITI Al-Falah di Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI), di sini kelmarin.
“Doa ibu bapa itu sangat tajam dalam perkembangan anak-anak. Imam Bukhari ini sejak dalam kandungan lagi, ibu bapanya telah bermunajat agar anak yang lahir itu nanti menjadi ulamak besar suatu hari nanti.
“Berkat doa mereka, Imam Bukhari menjadi seorang yang kuat hafalannya walau dalam keadaan matanya buta.
“Sehinggakan beliau dapat memperdengarkan bacaan surah Qaf dengan baik dan lancar saat disoal oleh gurunya,” cerita beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak.
Menurutnya, asbab daripada kelancaran bacaan tanpa salah itu, gurunya mula meminta beliau menghafal Hadis.
“Selepas mendapat pengkhabaran itu, ibunya terus bermunajat kepada Allah kerana risaukan kemampuan anaknya untuk menghafal Hadis.
“Pada masa yang sama, Imam Bukhari juga bermunajat di biliknya dan secara tiba-tiba dengan kekuasaan Allah, mata beliau sihat dapat melihat seperti manusia biasa.
“Inilah bukti betapa pentingnya doa ibu bapa sangat membantu bagi membentuk kejayaan diri anak-anak kita,” jelasnya lagi.
Dalam ucapannya itu, beliau turut memaklumkan jumlah SRITI di seluruh Malaysia adalah sebanyak 160 buah dan di Perak sahaja terdapat 24 buah SRITI.
Justeru, ibu bapa tidak perlu risau jika berpindah ke mana-mana kerana masih tetap boleh menyokong SRITI dengan memilihnya sebagai tempat pendidikan anak-anak. – HARAKAHDAILY 18/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!