Ancaman Allah terhadap golongan persenda agama

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَذَرِ الَّذِيْنَ اتَّخَذُوْا دِيْنَهُمْ لَعِبًا وَّلَهْوًا وَّغَرَّتْهُمُ الْحَيٰوةُ الدُّنْيَا وَذَكِّرْ بِهٖٓ اَنْ تُبْسَلَ نَفْسٌۢ بِمَا كَسَبَتْۖ لَيْسَ لَهَا مِنْ دُوْنِ اللّٰهِ وَلِيٌّ وَّلَا شَفِيْعٌ ۚوَاِنْ تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَاۗ اُولٰۤىِٕكَ الَّذِيْنَ اُبْسِلُوْا بِمَا كَسَبُوْا لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيْمٍ وَّعَذَابٌ اَلِيْمٌ ۢبِمَا كَانُوْا يَكْفُرُوْنَ.

“Dan tinggalkanlah orang-orang yang menjadikan agamanya sebagai permainan dan gurauan, (sebenarnya) mereka telah tertipu oleh kehidupan dunia. Peringatkanlah (mereka) dengan al-Quran agar diri masing-masing tidak terjerumus (ke dalam neraka), disebabkan apa yang telah diusahakan. Tidak ada baginya pelindung dan tidak ada pemberi syafaat (pertolongan) selain Allah. Dan jika dia hendak menebus dirinya dengan segala macam tebusan apa pun, (pasti) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dibinasakan oleh Allah (dihumban ke dalam neraka), disebabkan apa yang diusahakan oleh mereka (sendiri). Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak dan azab yang pedih kerana mereka kufur (ketika hidupnya)”.

(al-An’aam: 70)

Allah S.W.T memberi amaran terhadap sesiapa yang mempersendakan agama dengan azab yang pedih di akhirat kelak. Tiada pengampunan kepada mereka (jika mereka tidak bertaubat dengan sebenar).

Perbuatan mempersendakan agama sama ada dengan perkataan, perbuatan atau lainnya adalah suatu kesalahan yang amat besar di sisi Allah dan di sisi umat Islam.

Perbuatan memperlekehkan pemakaian Islam yang menutup aurat, mempersendakan Sunnah Rasulullah S.A.W, memperkecilkan dan mempertikaikan hukum Allah dan menghina para ulamak pewaris Nabi adalah sebahagian daripada perbuatan mempersendakan agama yang berlaku mutakhir ini.

Perbuatan seumpama ini bukan sahaja mengundang kemarahan orang yang beriman, bahkan lebih besar lagi mengakibatkan kemurkaan Allah S.W.T yang boleh mengakibatkan pembalasan segera jika tidak dibendung.

Kejahilan dan kebodohan dalam urusan agama adalah faktor penyebab utama yang menjerumus individu tersebut dengan perbuatan yang dilaknat oleh Allah, di samping faktor persekitaran dan perundangan. Serangan pemikiran (Ghazwul Fikr) yang berlaku mengakibatkan generasi yang tidak memahami Islam secara mendalam boleh tergelincir dan terpesong.

Kemunculan kumpulan dan individu yang mempersendakan agama ini boleh diibaratkan sebagai suatu proses pembersihan daripada Allah S.W.T yakni membersihkan jiwa dan jati diri umat Islam daripada fahaman yang mengelirukan dan menyesatkan setelah dikenali punca dan pembawanya.

PAS Johor sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak berkuasa di atas tindakan tegas yang segera terhadap mereka yang terlibat.

PAS Johor menggesa agar usaha dilakukan ke arah memartabatkan dan memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara kita setanding dengan Mahkamah Sivil semoga ianya dapat membendung salah laku yang berkaitan dengan masyarakat Islam khasnya. Usaha ke arah memartabatkan Undang-undang Islam perlu dipergiatkan.

Para ibu bapa, guru, pendidik dan semua pihak perlu prihatin dan mengambil langkah yang perlu bagi memastikan anak-anak dan pelajar Muslim khasnya memahami dengan mendalam perkara asas dan prinsip dalam Islam. Pembentukan jati diri Muslim Mukmin (Muslim yang memahami dan beramal dengan ajaran Islam) perlu diperkasakan bermula dari rumah dan sekolah mahu pun universiti demi melihat survival generasi ummah yang teguh keimanan.

“Islam Menyatukan Ummah”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor
19 Zulhijjah 1443 | 19 Julai 2022 – HARAKAHDAILY 19/7/2022

- Advertisement -