Kedah tuntut Pusat bayar RM200 juta, bukan minta ‘free’

Atas kehilangan nilai hasil tanah yang dikorbankan untuk padi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Permohonan Kerajaan Negeri sebanyak RM200 juta setahun bagi mengekalkan kawasan sawah padi di Kedah masih di peringkat pertimbangan oleh Kerajaan Persekutuan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun beberapa siri libat urus telah diadakan di antara agensi Kerajaan Negeri dengan pihak Ibu Pejabat PLANMalaysia, namun permohonan tersebut masih belum mendapat jawapan yang tepat.

“Kerajaan Negeri tidak akan pernah kendur dan akan terus berjuang agar pengorbanan yang dilakukan oleh Kedah ini mendapat penghargaan yang setimpalnya,” jelasnya.

Beliau menjawab soalan Ustaz Hanif Ghazali (PN-Tanjung Dawai) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Ustaz Hanif pada pertanyaan itu, memohon penjelasan perkembangan tuntutan RM200 juta, Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan, berikutan mengekalkan kawasan Jepalang Padi untuk lebih daripada 40 peratus sumbangan Beras Negara.

Dalam pada itu, kata Sanusi, PLANMalaysia terdahulu telah mencadangkan agar keseluruhan kawasan Jelapang Padi termasuk di luar Jelapang Padi dibayar insentif sebanyak RM41 juta setahun.

Namun tegasnya, jumlah berkenaan masih terlalu jauh berbanding kehilangan pendapatan Kedah memajukan kawasan berkenaan berikutan pengorbanan untuk orang lain.

“Alasan kononnya telah banyak subsidi telah diberikan kepada para petani adalah tidak relevan kerana permohonan dibuat oleh Kerajaan Negeri itu adalah berkaitan tanah terpaksa dinafikan pembangunan lain kerana memberi laluan kepada penanaman padi untuk Beras Negara.

“Daripada tanah sawah seluas 220,000 hektar itu, cukai tanah yang diperolehi hanyalah RM2.6 juta, tetapi kalau dibandingkan dengan tanah industri, jumlah cukai RM2.6 juta hanya untuk 10 hektar tanah sahaja,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu lagi.

Dalam pada itu, katanya, sekiranya 5,000 hektar tanah di bawah Rancangan Tempatan Daerah (RTD) dibangunkan dengan projek lain sama ada perumahan, industri atau lain-lain, secara tidak langsung boleh mengubah nilai cukai tanah berkenaan.

Oleh itu, jelasnya lagi, sekiranya tanah itu diubah syarat, Kerajaan Negeri akan memperolehi RM116 juta cukai tanah bagi caj-caj penggunaan tanah, cukai taksiran dan lain-lain.

“Berikutan itu, tuntutan RM200 juta kepada Kerajaan Persekutuan itu adalah permohonan yang munasabah. Lagipun sekiranya diambil kira insentif melalui Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KaGuMN), nilai yang digunakan oleh PLANMalaysia sebanyak RM400,000 setiap hektar tanah padi. Kita minta 0.38 peratus sahaja iaitu RM150 juta.

“Sebelum ini, saya juga pernah kata, sekiranya semua tanah padi itu dibangunkan dengan pembangunan komersial, ia mampu menyumbang hasil kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM1.7 billion.

“Kita tak tuntut duit ‘free’ dari Kerajaan Persekutuan, tetapi kita tuntut atas apa yang kita hilang,” tambah beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau amat berharapkan agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan permohonan sepertimana yang telah dicadangkan dan dimuktamadkan segera demi kesejahteraan rakyat dan kelangsungan pembangunan Negeri Kedah. – HARAKAHDAILY 21/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!