DHPP Perak bantu PAS jaga kebajikan masyarakat

- Advertisement -

IPOH: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Negeri Perak turut serta dalam menabur khidmat menyantuni dan menyalurkan sumbangan buat penduduk negeri ini khususnya di sekitar Kampar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

- Advertisement -

Ketua Pemuda DHPP Perak, Yougan Mahalingam ketika ditemui HarakahDaily berkata, hingga kini pihaknya telah mengusahakan lebih 200 sumbangan kepada keluarga yang memerlukan dan terkesan dengan PKP ini sekitar negeri ini.

Menurut beliau, usaha murni itu hasil kerjasama baik dan bantuan pelbagai pihak antaranya daripada PAS Perak sendiri, selain NGO Pertubuhan Kebajikan Dr Kamal Hassan Malaysia serta derma ikhlas orang ramai.

“Inilah masanya kita sebagai anggota PAS membuktikan PAS untuk semua. PAS akan berusaha menjaga kebajikan semua pihak sama ada masyarakat Islam dan bukan Islam. Tiada yang terpinggir,” ujar Yougan.

Tambahnya sejak menyertai PAS pada tahun 2008, platform selaku Ketua Pemuda DHPP Perak yang telah diberikan PAS telah dimanfaatkan sebaiknya iaitu membantu parti ini menjaga kebajikan masyarakat khususnya golongan bukan Islam.

Kongsinya, selain menjayakan usaha yang menjadi kelaziman ahli dan penyokong PAS ini, beliau turut tertarik dengan usaha dakwah dan amal kebajikan diusahakan seorang pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew.

“Saya amat menghormati dan menyokong usaha baik Ustaz Ebit. Beliau sentiasa berbuat amal kebajikan tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan (juga) bangsa. Sikap prihatin inilah yang harus diterapkan dikalangan rakyat Malaysia,” jelas Yougan.

Tambahnya, beliau berharap agar lebih ramai pihak yang prihatin dan menjaga kebajikan masyarakat bukan Islam agar rakyat dapat hidup aman damai tanpa mana-mana pihak terpinggir. – HARAKAHDAILY 26/4/2020

- Advertisement -