Merdeka: Tingkat toleransi kaum Keluarga Malaysia

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita diberi kesempatan oleh Allah S.W.T menyambut Hari Kemerdekaan ke- 64 dan akan disusuli dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September akan datang.

Sesungguhnya sambutan ini memberi makna yang yang amat berharga bagi setiap rakyat walaupun masih dibelenggu dengan pandemik COVID-19 yang semakin mengganas. Justeru, ia perlu dihargai dan dihayati dengan sebaiknya.

Menelusuri sejarah perjuangan kemerdekaan, kita semua menyedari bahawa perjuangan untuk meraih kebebasan daripada penjajahan ini bukanlah sesuatu yang mudah namun sebenarnya mempertahankan kemerdekaan yang telah dicapai adalah jauh lebih sukar.

Pelbagai anasir luar yang negatif saban hari masuk menjajah minda dan norma kehidupan masyarakat kita melalui media elektronik dan sosial yang sukar dikawal lebih-lebih lagi negara negara kita sejak sekian lama mengamalkan polisi langit terbuka.

Apakah erti merdeka ketika mana ideologi komunis yang menolak total kewujudan Tuhan serta ditentang oleh generasi terdahulu kini gamak diterima oleh segelintir rakyat khususnya bangsa melayu?

Apa erti kebebasan jika ulamak yang menjadi rujukan dalam persoalan dunia dan akhirat dihina dan diperlekeh hanya kerana berlainan pegangan politik dan pandangan dalam orbit disiplin ilmunya?

Apa erti perjuangan bangsa jika tonggak negara iaitu kehormatan dan kemuliaan Raja-raja Melayu dipersendakan secara terbuka di medan perbincangan rakyat kebiasaan?

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk bersama-sama mengisi kemerdekaan ini dengan mengukuhkan ukhuwah dan muafakat, menggandakan usaha, meningkatkan toleransi sesama kaum yang membentuk “Keluarga Malaysia”.

Mudah-mudahan dengan kesedaran ini, Malaysia akan bergerak lebih maju ke hadapan dalam semua bidang dan rakyat hidup dalam harmoni serta mendapat Mardhotillah.

“اسلام  ممڤركوكوه  ڤرڤادوان”

YB SENATOR HAJI AHMAD YAHYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
31 Ogos 2021 | 22 Muharam 1443H – HARAKAHDAILY 31/8/2021

- Advertisement -