Isu Jalur Gemilang: Sekadar mohon maaf tidak cukup

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia memandang serius insiden terbaru melibatkan syarikat akhbar berbahasa Cina yang telah menyiarkan gambar bendera Malaysia tanpa simbol bulan dalam laporan mereka baru-baru ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, kesilapan itu bukan sahaja mencerminkan kecuaian, tetapi suatu bentuk ketidaksensitifan terhadap simbol yang membawa makna besar kepada identiti dan kedaulatan negara.

“Alasan bahawa kesilapan ini berlaku akibat kesilapan teknikal adalah tidak memadai. Mereka sebuah institusi media yang telah lama beroperasi dan mempunyai pengalaman dalam industri penerbitan.

“Demikian tersebut alasan seperti ini langsung tidak mencerminkan tahap profesionalisme yang sepatutnya dimiliki,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bota, berkata pihak media sewajarnya lebih teliti dan bertanggungjawab dalam proses semakan akhir sebelum sesuatu bahan diterbitkan.

“Mereka gagal mengenal pasti bendera yang betul menunjukkan kelemahan ketara dalam pematuhan kepada prosedur kerja yang asas. Apakah sekadar cukup permohonan maaf menyembuhkan luka di hati rakyat Malaysia?” katanya.

Justeru, Dewan Muslimat PAS Malaysia menuntut penjelasan terbuka yang lebih terperinci kerana penjelasan kesilapan teknikal bukanlah sesuatu yang boleh diterima.

“Kami juga menggesa agar satu audit dalaman dilakukan bagi menilai semula proses editorial mereka demi mengelakkan kejadian yang sama berulang pada masa hadapan.

“Hormat kepada lambang negara adalah tanggungjawab semua pihak, terutama media yang mempunyai pengaruh besar terhadap persepsi masyarakat.

“Kami berharap pihak terlibat mengambil iktibar dan segera memperbetulkan keadaan ini dengan tindakan yang sewajarnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!