Pemuda PN lapor polis tuduhan Ngeh terhadap PAS, PN

Susulan kejadian khianat dengan api di kediaman Ngeh Koo Ham

- Advertisement -

KAJANG: “Kalau diikutkan logik dari sudut logik politik, orang seperti beliau inilah yang sangat kita harapkan supaya berada dalam DAP. Sebab orang seperti beliau ini bercakap mendahulukan mulut daripada otaknya. 

“Dan orang inilah yang kita harapkan supaya terus berada dalam DAP sebab kenyataan-kenyataannya itu sangat mencerminkan sikap dan juga perjuangan DAP dan menyebabkan rakyat lebih mudah untuk kenal siapa DAP. 

- Advertisement -

“Sebab itu saya sentiasa menyebut YB Ngeh Koo Ham sentiasa perlu ada dalam pimpinan DAP, diberikan kesihatan yang berpanjangan supaya beliau terus dapat mencerminkan perjuangan DAP kepada rakyat.

“(Ini akan) memudahkan rakyat untuk menolak perjuangan DAP,” demikian kata Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ustaz Ahmad Fadhli Shaari terhadap Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

Sinikal keras tersebut sebagai reaksi terhadap kenyataan Ngeh yang meletakkan syak bahawa pelaku kejadian khianat dengan api di kediamannya semalam terdorong kononnya daripada kenyataan PAS dan juga PN.

Di mana pemimpin DAP itu mengaitkan dengan pendirian PAS dan juga PN yang tidak setuju dengan cadangan beliau supaya diletakkan pakar bukan-Islam dalam Jawatankuasa Mengkaji Kompetensi DUN bagi menggubal Undang-undang Syariah.

Tegas Ahmad Fadhli, tidak ada sebab untuk PAS dan PN hendak berbuat khianat kepada Ngeh seperti itu, malah berharapkan supaya pihak polis dapat mempercepatkan siasatan terhadap kejadian tersebut. 

“Tak kira beliau maafkan atau kata beliau maafkan pelaku membuat beliau memberikan kemaafan, ini bukan hak beliau untuk nak bagi kemaafan. Maaf (atau) tak maaf itu soal nombor dua. 

“Polis kena siasat, heret pelaku ini ke muka pengadilan dan saya yakin ia tidak ada kaitan dengan PN mahupun pembangkang yang ada pada hari ini. Kalau nak kira ramai lagi pihak yang marah pada beliau. 

“Yalah dengan aset harta yang diisytiharkan beberapa tahun lepas tak mungkin ataupun tak mustahil beliau mempunyai musuh yang selain daripada musuh politik. Terserah kepada aa pihak polis (siasat),” ujarnya. 

Menurut beliau, dengan laporan polis dibuat Pemuda PN atas tuduhan tersebut, mereka berharap supaya Ngeh menutup mulut dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis sepenuhnya.

Ketua Penerangan PAS itu juga berkata, persepsi yang Ngeh taburkan kepada PAS dan PN itu adalah satu perkara yang tidak boleh berlaku dan minta supaya kenyataan tersebut dihentikan.

Berikutan kenyataan Ngeh berhubung dengan isu kebakaran di rumahnya itu telah mendahului siasatan pihak polis, Pemuda PN membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, di sini sebentar tadi.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga merakam penghargaan kepada Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengingatkan jangan ada sesiapa mendahului siasatan 

Termasuklah kata Menteri itu, supaya tidak juga mengeluarkan persepsi dan menyatakan sangkaan terhadap mana-mana suspek kerana proses untuk mengenali suspek dan menjalankan siasatan merupakan kuasa pihak polis. 

“Kami di peringkat Pemuda PN dan juga PAS kita mengucapkan takziah kepada YB Ngeh atas kejadian yang menimpa dan kita ingin nyatakan bahawa perbuatan ini adalah merupakan satu perbuatan yang tidak boleh diterima dalam negara kita dalam amalan demokrasi dan negara kita pada hari ini. 

“Apa jua perbezaan yang berlaku tidak boleh sampai kepada peringkat pengkhianat kepada harta lain. Kita doakan supaya saudara ni diberikan keadilan, dipermudahkan urusan dalam menuntut insurans dan sebagainya. 

“Saya fikir laporan ini dibuat untuk mengekang sebarang kenyataan awal yang dikeluarkan oleh beliau, biarlah pihak polis menyiasat. Tak payah beliau menjadi lebih cerdik daripada pihak polis untuk membuat siasatan. 

“Kalau nak diikutkan logik, tidak perlu untuk sampai ke peringkat nak bakar dan beliau kata kononnya nak bunuh beliau, ini bukan pendekatan politik PN,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 11/1/2024

- Advertisement -