Pelakon wanita tutup aurat pilihan Syahmi Sazli

- Advertisement -

BERJAYA mencatat kutipan RM5 juta dalam masa 12 hari tayangan, Mael Totey The Movie bukti elemen ketimuran dan mengikut syariat mampu memperoleh hasil luar biasa. Syahmi Sazli, seorang pengarah muda bercita-cita besar, kini mula disanjung tinggi. Tidak perlu artis popular sebagai pelakon utama ditambah dengan adegan-adegan ‘terlebih romantis’ dan hiburan melampau, filem ini tetap berjaya meraih tarikan penonton dan mencipta rekod tersendiri.

- Advertisement -

Filem yang membawa genre drama komedi dengan beberapa elemen kritikan sosial dan mendidik masyarakat ini masih ditangga pertama Astro First. “Kita lain, mereka sama”, tagline yang membawa mesej tersendiri; bukan sahaja dari pelakon utamanya yang kita sedia maklum merupakan orang kelainan upaya (OKU), tetapi memilih untuk mewujudkan scene yang tetap dalam syariat adalah satu perkara layak dipuji. Mungkin ini salah satu faktor kejayaan filem ini. Tahniah!

Jika dilihat kepada video-video pendek yang dihasilkan anak muda berbakat besar ini, sememangnya beliau masih kekal dengan elemen ketimuran walaupun banyak membawa mesej pencintaan remaja. Dijelaskan oleh Syahmi Sazli sendiri dalam bingkisan disebalik tabir filem Mael Totey The Movie, elemen pencintaan Mael itu hanyalah satu jalan cerita yang sebenarnya tidaklah menjadi fokus utama dalam filem ini. Fokus utama beliau adalah kepada nilai-nilai murni disebalik jalan cerita.

Kewujudan produksi filem, malahan stesen televisyen yang menjaga aurat dan mengikut syariat sebenarnya sudah lama dan banyak bertapak di negara kita. MrKokom, Tarbiyah Sentap, MTAS Production, HAS Production, Hamare Studio dan Teega My antara barisan produksi tempatan Islamik yang kekal menjaga syariat dalam menghasilkan video-video pendek di YouTube mahupun media sosial yang lain. Walaupun masing-masing membawa genre dan style berbeza, tetapi dengan meletakkan satu syarat berlandaskan agama dalam penghasilan karya, telah menjadikan nilainya sangat cukup bermakna.

Lebih-lebih lagi mereka merupakan anak muda berani dan berbakat dalam memecah tembok produksi Malaysia. Mereka mungkin bukanlah produksi besar yang menelan kos jutaan ringgit, tetapi impak dan manfaatnya kepada ummah pastinya lebih daripada itu. Tidak mustahil satu hari nanti, mereka juga boleh sebaris dengan produksi-produksi hebat di luar sana.

Filem dan masyarakat tidak boleh dipisahkan. Kita terpaksa akui, sejak dari zaman P Ramlee lagi filem telah berjaya mencipta ‘watak’ masyarakat di negara kita. Bagaimana masyarakat boleh terdidik dengan penghasilan filem, itu persoalan yang seharusnya semua produksi fikirkan. Bukan semata-mata mengejar pecah panggung atau mana-mana anugerah di mata manusia. Namun, anugerah di sisi Allah S.W.T itulah pengharapan dan tujuan sebenar.

“Barangsiapa yang mencari redha Allah sekalipun memperolehi kemurkaan manusia, maka Allah akan cukupkan kebergantungannya terhadap manusia. Barangsiapa yang mencari redha manusia sekalipun memperolehi kemurkaan Allah, maka Allah akan serahkannya kepada manusia.”
[Hadith Riwayat al-Tirmizi (2414)]

Dalam mencari tempat di hati masyarakat, produksi tempatan tidak lepas dari kritikan sesetengah pihak. Seperti kata mutiara, ‘begitulah adat resam berjuang’. Memberi kritikan membina itu boleh, tetapi memberi kritikan yang seumpama menjatuhkan itu sepatutnya dielakkan. Berilah cadangan dan penambahbaikan dengan cara yang sopan di samping menyokong hasil original anak seni kita. Produksi filem tempatan sebeginilah kekuatan kita, ditambah pula dengan elemen agama dan didikan moral. Jika bukan kita yang menyokong, siapa lagi? 

Menyentuh mengenai wanita dan layar perak, tidak dinafikan suasana Islamik  produksi itu sendiri sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting. Pernah terlibat dalam penghasilan video pendek sebuah syarikat televisyen suatu ketika dahulu, sekiranya ‘team leader’ produksi atau projek tersebut adalah individu yang menjaga syariat, in sya Allah segala kerja dari penghasilan skrip, pemilihan talent, make-up artis, wardrobe set dan lain-lain akan benar-benar terjaga. Belum lagi berbicara soal tempoh shooting yang memakan masa yang sangat lama walau hanya untuk scene beberapa minit. Di situ ujian ibadah pula hadir.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada produksi filem yang berusaha menjaga nilai ini. Kita memerlukan lebih ramai penggiat seni sebegini bagi meriahkan dan merancakkan lagi industri perfileman yang diredhai Allah S.W.T. In sya Allah, doakan sinar ini semakin bergemelapan suatu hari nanti. Aamiin.

AQILAH ABD – HARAKAHDAILY 9/11/2020

- Advertisement -