Betulkah calon SPM SMAR perlu membayar yuran?

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta agar menjelaskan isu yuran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang turut dikenakan terhadap calon-calon di Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR).

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah berkata, KPM wajar memberi jawapan segera kenapa dan mengapa perkara itu dilaksanakan.

“Sama ada betul atau tidak, jawapannya hanya ada pada KPM. Oleh itu sebaiknya KPM perlu memberi maklum balas agar perkara ini tidak terus berlegar tanpa sebarang penjelasan,” kata beliau pada kenyataan, di sini hari ini.

Namun sepengetahuannya, tegas beliau, tiada yuran SPM untuk calon kategori SMAR sebelum ini, di mana pendekatan itu sedikit sebanyak dapat meringankan kos pengajian ditanggung oleh waris para pelajar berkenaan.

Tetapi kata Dr Ahmad Fakhruddin yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, sekiranya isu tersebut benar, adakah ia hanya untuk SMAR di negeri Kedah sahaja atau melibatkan seluruh negara.

“Saya pun nak kepastian, sama ada yuran SPM kategori SMAR ini untuk negeri Kedah atau seluruh negara? Keperluan pelajar SPM ni banyak juga,” keluhnya lagi.

Justeru katanya, kalau sebelum ini, rakyat Malaysia berdegar-degar dimomokkan berkenaan pendidikan percuma, tetapi amat malang tiba-tiba yuran SPM SMAR yang tiada sebelum ini diadakan semula tahun ini.

“Macam mana ni.. letih para waris menghadapnya,” bidas beliau. – HARAKAHDAILY 21/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!