TAPAH: Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad hari ini menggesa akar umbi Umno agar menolak usaha normalisasi kerjasama antara Umno dan DAP yang disifatkan semakin ketara berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, satu ketika dahulu di atas pentas Perhimpunan Agung Umno, Presiden Umno pernah bersumpah keramat ‘No Anwar, No DAP’, dan seluruh ahli serta penyokong Umno percaya serta berdiri teguh di bawah kepimpinan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Namun selepas PRU15, Umno telah memilih untuk membentuk kerjasama dengan PKR, DAP dan PAN dalam Pakatan Harapan dengan disokong oleh GPS. Alasan yang diberikan oleh Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi kononnya atas titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk ‘kerajaan perpaduan’.
“Hakikatnya, seperti yang didedahkan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution pada 4 Disember 2022, rundingan membentuk kerajaan bersama Anwar dan PH telah bermula sebelum daripada PRU15 lagi. Ini menunjukkan satu pembohongan kepada ahli-ahli Umno sendiri,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata demikian dalam sidang media harian di sini bersempena PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning, hari ini.
Mengulas lanjut, Idris berkata, PAS, BERSATU dan Umno asalnya adalah tiga teras yang membentuk kesatuan Melayu-Islam kerana dasar dan ideologi yang hampir serupa, namun pemimpin Umno telah ‘mufaraqah’ daripada jemaah besar Muafakat Nasional.
“Selepas PRU15, parti-parti dalam Muafakat Nasional telah mendapat 127 kerusi dengan pecahannya ialah Barisan Nasional (BN) 30 – daripada jumlah itu UMNO 26, MCA 2, MIC 1, dan PPRS 1; Perikatan Nasional (PN) 74 dan GPS 23.
“Sekiranya Datuk Seri Zahid Hamidi dan pemimpin-pemimpin Umno yang lain mementingkan kesatuan Melayu-Islam, maka sepatutnya kerajaan Muafakat Nasional telah dapat dibentuk serta-merta,” katanya.
Tambah beliau, prestasi Umno terus menjunam dalam siri Pilihan Raya Umum sebelum ini, dengan parti itu memperoleh 88 kerusi Parlimen pada PRU13, 54 kerusi pada PRU14 dan hanya 26 kerusi pada PRU15, menunjukkan trend menurun yang ketara.
“Dalam keadaan itu, Datuk Seri Zahid Hamidi memilih jalan menyimpang bersama-sama Anwar dan DAP yang satu masa dahulu ditolak keras oleh beliau sendiri.
“Lebih menyedihkan, DAP yang sentiasa menjadi seteru kepada Muafakat Nasional dalam banyak isu terutama yang menyentuh hak keistimewaan Melayu dan Islam, kini sudah pun bersama-sama mereka,” katanya.
Menurut Idris, walaupun pemimpin Umno pro kepada Anwar dan DAP berusaha keras menormalisasi hubungan antara kedua parti itu, akar umbi umno tetap tidak dapat menerima keadaan tersebut.
“Ini dapatan kami sendiri apabila kita turun bertemu pengundi di DUN Ayer Kuning ini, walaupun kita tahu mereka adalah penyokong Umno. Kawasan ini dianggap kawasan putih kepada Umno, namun rasa tidak puas hati terhadap proses normalisasi ini tidak diterima oleh peringkat akar umbi.
“Ini realiti yang berlaku di peringkat bawah. Para wartawan pun boleh buat tinjauan bebas bertemu mereka, terutama dari kalangan otai-otai lama, veteran Umno di sini,” katanya.
Beliau turut menyatakan Menteri Besar Perak sendiri pernah menyelar gelaran ‘UmDAP’, malah Ahmad Zahid pernah menyatakan ‘UmDAP’ tidak wujud dan hanyalah propaganda politik.
“Namun, baru-baru ini Nga Kor Ming dilihat mengetuai sekumpulan pemimpin Umno bawahan melaungkan slogan ‘UmDAP Mantap’. Sedap dengar tu, ritma akhir tu sama – DAP dengan Mantap – ciptaan Nga Kor Ming.
“Lebih mengejutkan, Ketua Pemuda Umno sendiri pun akhirnya mengakui secara terbuka atas pentas ceramah di Ayer Kuning bahawa ‘UmDAP’ memang wujud dalam Umno. Pengakuan ini menimbulkan persoalan, apakah Zahid Hamidi tidak bercakap benar ataupun bohong kepada ahli-ahli Umno,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa dalam politik tidak boleh ada penyembunyian, dan sikap berani mengakui kerjasama politik adalah satu tindakan ‘gentleman’.
“Dulu kami kerjasama dengan DAP, kami jelas. Kami kata kerjasama ini ialah pada perkara-perkara yang dianggap sebagai isu bersama. Kami tidak bersetuju dengan ISA, AUKU, Akta Cetak dan sebagainya. Tapi dalam soal dasar Islam, kami tak boleh kompromi.
“Sebab tu walau saya masih ingat di waktu Dokumen Negara Islam yang nak dikeluarkan oleh PAS pada waktu tu tahun 2001, Ustaz Fadzil Noor masih ada lagi Presiden, Tok Guru Nik Aziz masih ada lagi sebagai Mursyidul Am membuat keputusan di mana DAP tak bersetuju.
“Kita nak dokumen bukan sebagai satu bahan untuk sebagai ‘Tor’ kita rujukan kepada kita kami. Macam dia pula Deklarasi Setapak itu dia punya ‘Tor’ dialah sampai hari ni dia perjuangan untuk ke arah itu.
“Yang ni pun dia tak bagi Dia kata kalau nak keluar juga DAP akan keluar Ustaz Fadzil Noor kata ‘lah hang lah nak keluar’ Tok Guru Nik Aziz kata ‘lah mulah nak keluar’.
“Dia nak suruh kita biar dia keluar. Dia keluar daripada Barisan Alternatif. Kena ingat tu sejarah tu. Dia ‘comeback’ balik dengan kita bila waktu nak bentuk Kerajaan Perak. Dia nak seat dalam kerajaan.
“Maka kita duduk dengan mereka ketika itu Jadi ertinya PAS prinsip kita tak mahu sembunyi sembunyi. Benda politik mana boleh sembunyi kan, tak boleh,” katanya.
Idris berkata, PAS tidak pernah sembunyikan pendirian politik, berbeza dengan Umno yang kini tidak mahu mengaku hubungan mereka dengan DAP.
“Kalau kami, kami bagi tahu semua. Kami bersama, tiada masalah. ‘Gentleman’. Tapi yang ini, tak mahu mengaku, jadi tak ‘gentleman’.
“Dalam politik mesti ‘gentleman’. Pilihan raya juga mesti anak jantan lawan anak jantan. Parti lawan parti, bukan parti lawan kerajaan. Kalau lawan kerajaan, orang tak panggil anak jantan. Orang panggil pondan,” katanya.
Katanya lagi, banyak pegawai kerajaan hari ini bukan penyokong ‘UmDAP’ dan ada yang tidak berparti, malah ada di kalangan mereka merupakan penyokong PAS atau BERSATU.
“Kerana itu kita hendak supaya semua guna aset-aset parti, bukan jentera kerajaan,” katanya.
Idris berkata Kerajaan Madani bukan sahaja gagal menguruskan isu-isu berkaitan Melayu, malah gagal menyelesaikan isu dalam parti seperti isu titah adendum dan krisis ekonomi serta kos sara hidup rakyat yang semakin meruncing.
“Kepada ahli dan penyokong Umno yang masih setia, inilah masanya untuk menunjukkan rasa tidak puas hati. Kembalikan Umno kepada landasan asal iaitu kesatuan Melayu dan Islam.
“PRK Ayer Kuning ini adalah medan terbaik untuk memberi isyarat jelas kepada pimpinan Umno. Ketika ini kuasa ada di tangan ahli Umno. Undilah calon PERIKATAN NASIONAL sebagai tanda protes terhadap pengkhianatan kesatuan Melayu-Islam.
“Kekalahan calon Umno di Ayer Kuning sebenarnya tidak menjejaskan kerajaan negeri Perak mahupun kedudukan Menteri Besar. Sebaliknya hanyalah sebagai satu mesej daripada bawah yang perlu menyedarkan bahawa inilah bahasa yang mudah difahami oleh pemimpin-pemimpin ‘UmDAP’,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!