Padang Rengas tuan rumah Ijtimak Tarbawi 7.0

    - Advertisement -

    PAS selalu disalah anggap sebagai pertubuhan yang bertunjangkan politik semata-mata. Walhal, politik sekadar platfom PAS bagi menyampaikan dakwah kepada pelbagai peringkat manusia. Tunjang sebenar keberadaan PAS sejak 1951 ialah tarbiyah.

    - Advertisement -

    Tarbiyah bermaksud pembinaan manusia atau dengan kata lainnya, pendidikan. Pendidikan ahli PAS bermula dari dalam rumah dan berkembang ke medan yang lebih luas di luar rumah.

    Apabila seorang ahli menandatangani borang keahlian PAS dan mengaku kebenaran dasar PAS, menerima Perlembagaan PAS dan mengaku taat setia kepada kepimpinan PAS, maka secara automatik bermaksud beliau bersedia untuk menerima tarbiyah.

    Dewan Pemuda PAS sebagai salah satu sayap PAS mengambil serius hal tarbiyah melalui usrah, tamrin, mukhayyam, rehlah, nadwah, liqa fikri dan ijtimak bermula dari peringkat Cawangan hingga ke peringkat Pusat.

    Bagi bukan ahli PAS, istilah-istilah Arab di atas tentu sekali adalah suatu yang baru. Bagi rakan politik PAS, anda tidak perlu berkecil hati jika tidak pernah dijemput menghadiri program-program tersebut atas statusnya yang bersifat dalaman.

    Ijtimak bermaksud himpunan, Tarbawi bermaksud tarbiyah. Dalam himpunan ini pelbagai program tarbiyah berskala mega disediakan khusus untuk anda di antaranya Diskusi Tarbawi, Bicara Tarbawi dan Talaqqi Tafsir al-Quran bersama pimpinan tertinggi parti.

    Sejarah Ijtimak Tarbawi bermula pada tahun 2010 dengan Marang sebagai tuan rumah, 2011 di Gombak, 2013 di Ledang, 2014 di Permatang Pauh, 2016 di Kota Melaka, 2018 di Kangar. Hanya tahun 2012 dan 2017 Ijtimak Tarbawi tidak diadakan.

    Pada tahun ini, Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Rengas dengan penuh rendah hati menerima tanggungjawab sebagai tuan rumah bagi program tahunan peringkat kebangsaan ini. Walaupun Kuala Kangsar dapat nama, susunya tetap Padang Rengas punya.

    “Selamat datang kepada semua peserta Ijtimak Tarbawi 7.0 yang akan berlangsung dari 15 November hingga 16 November 2019 bertempat di Kem Kota Lama, Sauk.

    “Saya mengalu-alukan kehadiran semua terutamanya kepada Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin, Mursyidul Am PAS.

    “Tidak lupa juga kepada semua petugas yang dianggarkan seramai 350 orang termasuk petugas Jabatan Amal seluruh negara yang akan datang membantu,” ujar Ketua Pemuda PAS Padang Rengas, Helmi Affindi Ali ketika ditemui.

    Bagi memeriahkan dan keselesaan penganjuran Ijtimak Tarbawi 7.0 pada tahun ini, pihak urusetia menyediakan 128 tapak gerai, sembilan tapak pameran, hampir 50 buah tandas, dewan yang selesa, taman asuhan kanak-kanak dan penginapan bagi yang memerlukan. 

    “Namun sudah pasti penganjuran Ijtimak Tarbawi 7.0 berskala besar ini melibatkan kos yang agak tinggi. Oleh itu kita mengharapkan sumbangan pelbagai pihak bagi memastikan program ini berjalan dengan baik,” ujar beliau yang juga merupakan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

    Menurut beliau lagi, di antara bentuk sumbangan yang boleh dihulur ialah sumbangan makanan petugas, dana pengurusan dan juga tajaan iklan.

    Dermawan yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam (08013010005254) atas nama Dewan Pemuda PAS Perak.

    Sebarang pertanyaan berkaitan sumbangan boleh diajukan ke talian 014-844 33521 (Dhiyauddin)  atau 013-4463732 (Amin). – HARAKAHDAILY 6/11/2019

    - Advertisement -