Bekalan air termasuk Langkawi dipulih menyeluruh

Projek infrastruktur merangkumi pelan bagi 30 tahun akan datang

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri berusaha memulihkan perkhidmatan bekalan air di negeri ini secara menyeluruh termasuk menerusi perancangan projek infrastruktur yang merangkumi pelan bagi 30 tahun akan datang.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri, Mohamad Yusof@Munir Zakaria berkata, usaha tersebut sedang berjalan melalui tindakan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Menurut beliau, menerusi Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA), pihaknya maklum mengenai isu bekalan air terawat yang dihadapi oleh sebahagian pengguna di Pulau Langkawi.

“Beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah bekalan air di Pulau Langkawi adalah disebabkan ketidaksepadanan tahap pembangunan di Daerah tersebut serta kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang tinggi.

“Hal ini juga disebabkan oleh fenomena El-Nino yang berlaku sejak bulan Januari lalu yang mengakibatkan SADA kekurangan sumber air mentah untuk diproses,” jelas beliau.

Maklum Munir, projek-projek yang sedang berjalan ini dilaksanakan sebaik mungkin dengan mengambil kira pertambahan pembangunan serta jumlah akaun baharu di masa akan datang.

Katanya juga, projek-projek pembangunan infrastruktur bekalan air yang sedang dan akan dilaksanakan di Pulau Langkawi melalui beberapa sumber pembiayaan iaitu peruntukan secara dalaman.

“Pinjaman daripada Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB), pinjaman dan geran daripada Bahagian Bekalan Air (BBA), Kementerian Peralihan Tenaga & Transformasi Air (PETRA).

“Komitmen ini membuktikan kerajaan negeri melalui SADA komited dalam menyampaikan perkhidmatan  yang cemerlang bagi memastikan ketersediaan bekalan air terawat di Pulau Langkawi dapat dikekalkan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 27/5/2024

- Advertisement -