Menelusuri kisah agung surah al-Kahfi (2)

- Advertisement -

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ ٱلْكِتَٰبَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُۥ عِوَجَا

- Advertisement -

“Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong).”

(al-Kahfi: 1)

Kehebatan empayar Islam

Surah ini dimulakan dengan pujian kepada Allah S.W.T kerana Dia telah menurunkan sebuah kitab suci kepada Nabi Muhammad S.A.W. Sebelum kedatangan Islam, orang Arab Jahiliyah menyembah berhala yang banyak atau disebut sebagai Politeisme. 

Dalam ilmu perbandingan agama, terdapat agama: 

1. Monoteisme – disebut sebagai agama tauhid misalnya Islam dan agama-agama Nabi lain.

2. Dualism – percaya kepada dua Tuhan misalnya agama Majusi (Zoroastrianism) yang percaya kepada Tuhan Ahura Mazda (Tuhan baik) dan Angra Mainyu (Tuhan jahat).

3. Trinity – misalnya agama Hindu yang asasnya disebut sebagai Trimurti iaitu Brahma, Shiva, Vishnu dan agama Kristian iaitu God The Father (Tuhan Ayah), The Son (Tuhan Anak), Holy Spirit (Roh Al Kudus).

4. Politeisme.

Agama Hindu kadang-kadang termasuk dalam kategori Politeisme. Begitu juga dengan agama-agama lain pada zaman Jahiliyah kerana terdapat sebanyak 360 berhala yang pelbagai rupa di sekeliling Kaabah. Namun begitu, berhala-berhala tersebut telah dihancurkan oleh Nabi pada tahun ke-10 Hijrah. Selain itu, kehidupan mereka tidak berasaskan cara yang betul seperti berlaku perzinaan, riba, salah guna kuasa, pembunuhan dan sebagainya. 

Kedatangan Islam memperbetulkan akidah. Akidah bakal menentukan sikap kita dalam hidup. Apabila seseorang itu betul-betul berpegang dengan Islam, kehidupannya akan menjadi baik. Kehidupan orang Arab berubah setelah menerima Islam sehingga mereka bangkit menjadi suatu kuasa besar yang berjaya mengalahkan dua kuasa besar dunia pada ketika itu iaitu Rom dan Parsi. 

Kehebatan tentera Rom iaitu Legions dari segi latihan, ketahanan dan strateginya telah berjaya menggerunkan ramai pihak lawan. Namun, kerajaan Rom kalah apabila Nabi bangkit. Nabi berduka cita apabila kerajaan Rom dikalahkan oleh Parsi. Nabi lebih cenderung kepada Rom kerana agama asalnya adalah Kristian dan dekat dengan Islam. Manakala agama Parsi pula tidak berasaskan kepada wahyu iaitu agama Majusi (menyembah api). 

Setelah kedatangan Islam, orang Arab bangkit. Kuasa yang hebat dan bala tentera yang digeruni menyebabkan mereka berjaya mengalahkan Rom dan Parsi. Empayar Rom dan Parsi jatuh sepenuhnya pada zaman pemerintahan Sayyidina Umar R.A. 

Pada zaman Sayyidina Abu Bakar R.A, peperangan itu belum berlaku kerana banyak fokus kepada isu dalaman. Setelah Nabi wafat, berlaku pemberontakan dalam negara Islam atau gerakan Riddah iaitu golongan murtad yang menolak kepimpinan Sayyidina Abu Bakar dan enggan membayar zakat. Lalu, beliau membuat keputusan untuk berperang dengan golongan tersebut. Beliau menubuhkan 12 pasukan tentera yang sebahagiannya terdiri daripada pemuda Thaif. Dahulunya ayah-ayah pemuda tersebut telah menolak Islam dan bertindak menghalau Nabi. Namun akhirnya selepas pembukaan Kota Makkah, pemuda-pemuda tersebut menjadi pemuda-pemuda Islam yang hebat. Mereka berjaya mempertahankan kerajaan Islam di Madinah. 

Semasa pemerintahan Sayyidina Umar, negara Islam sudah pun aman kerana golongan Riddah sudah dihapuskan. Beliau mampu mentadbir negeri dengan baik. Pemerintahannya agak lama sehingga pasukan tentera yang rasmi telah ditubuhkan. Berlaku pembukaan-pembukaan di Kawasan Rom dan Parsi menyebabkan seluruh Semenanjung Tanah Arab dikuasai oleh Islam hingga ke Iraq dan Syam. Syam (kini Jordan, Palestin, Syria) merupakan sebuah wilayah yang amat luas. Kekuasaan Turki Uthmaniyyah juga tidak kurang hebatnya menakluki seluruh Tanah Arab hingga ke Balkan dan sempadan Rusia serta termasuk sebahagian daripada Jerman. 

Pujian kepada-Nya tatkala susah mahupun senang

Walaupun kita ditimpa kesusahan, sebutlah ‘Alhamdulillah’. Dalam satu Hadis ada disebut, jika dapat benda baik, sebutlah ‘Alhamdulillah‘. Jika dapat benda buruk, sebutlah juga ‘Alhamdulillah’. Bacaan yang sedikit panjang adalah ‘Alhamdulillah ‘ala kulli hal‘ yang bermaksud ‘Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan’.

“Sayyidatina ‘Aisyah R.A berkata: Rasulullah S.A.W ketika melihat sesuatu yang dia senangi maka ia berkata, “Segala puji bagi Allah yang dengan kenikmatan-Nya kebaikan-kebaikan menjadi sempurna, Dan ketika dia melihat sesuatu yang dia benci maka dia berkata, “Segala puji bagi Allah atas segala hal.”” [1] 

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Misalnya, kita biasa berkata: “Alhamdulillah: mujur demey, tok keno strok”. “Dio keno banjir, kito air sekat betis”, atau “dio tengelam banjir, kito dey pindah”.

Di sebalik kesusahan, barangkali ada kebaikan yang kita tidak ketahui. Ada sesuatu yang diambil-Nya tetapi dikembalikan dengan sesuatu yang lain. Jadi, elakkan melihat pada sesuatu yang diambil-Nya sahaja, tetapi lihatlah juga pada perkara yang berlaku selepasnya. Dia akan menggantikannya dengan yang lebih baik. Maka, orang beriman haruslah sentiasa bersikap positif: 

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ 

“Barangkali kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

(al-Baqarah: 216)

Ayat ini diturunkan apabila orang Islam disuruh agar berperang. Rasulullah terlibat dengan peperangan sebanyak 17 kali. Hakikatnya, tiada sesiapa pun yang suka akan peperangan sebab:

1. Tiada kepastian untuk memperoleh apa-apa habuan keuntungan.

2. Terpaksa menanggung sendiri untuk makan minum dan senjata.

3. Harta rampasan atau ghanimah hanya diperoleh kalau menang.

4. Perlu bersusah-payah dan belum tentu pulang dalam keadaan selamat, boleh meninggal dunia, cedera dan mengalami kecacatan.

Berbeza dengan askar pada zaman kini, jika suami meninggal, isteri akan memperoleh insurans. 

Adapun, kita mungkin amat suka akan sesuatu. Misalnya, memperoleh bonus, tanah berjaya dijual namun malangnya hasil jualan itu dikutip pula oleh pemiutang dan sebagainya. Ketahuilah bahawa sesungguhnya ujian-ujian-Nya ini mengandungi hikmah yang kita tidak mampu fikirkan. 

Nikmat keimanan memberikan nilai dalam kehidupan. Walaupun memiliki harta banyak, pangkat besar dan pengikut ramai tetapi tidak beriman, tiada nilai apa-apa di sisi-Nya. 

Kebenaran ditentukan oleh Allah

Al-Quran bersifat lurus, bermakna ajaran Islam adalah ajaran yang benar bukan terpesong, mengarut, ditokok tambah atau datang daripada fikiran manusia. Keduanya, ia bersifat tetap dan tidak berubah sampai bila-bila. Islam datang untuk membetulkan kehidupan masyarakat pada setiap zaman, bukan untuk mengikuti kehendak masyarakat. Rasulullah berlawan dengan orang-orang Arab untuk memperbetul kehidupan mereka yang telah lari daripada landasan betul yang ditentukan oleh Allah. 

Berdasarkan pemikiran falsafah, kebenaran itu bersifat relatif dan tidak mutlak kerana ia menggunakan akal. Oleh sebab itu, kebenaran itu berbeza mengikut setiap aliran falsafah. 

Dalam ilmu psikologi, akal dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti didikan atau pengajian, ibu bapa, kawan, persekitaran dan sebagainya. Ini boleh menyebabkan cara berfikir dan menilai setiap orang itu turut berbeza. 

Justeru, jika kita meletakkan kebenaran itu berpandukan neraca akal, kita akan sering bertengkar. Inilah perbezaannya dengan kebenaran yang datang daripada al-Quran. 

Konsep Islam tanpa syariat

Dalam bab akidah, prinsipnya adalah tetap. Dalam bab syariah pula, prinsipnya ada yang tetap dan ada yang mutaghayyirat iaitu sesuatu yang boleh berubah mengikut keadaan tertentu. 

Misalnya, solat itu bersifat tetap wajib ditunaikan dan diberikan keringanan dalam melaksanakan sebahagian rukunnya jika tidak berkemampuan. Wuduk diperlukan untuk menunaikan solat. Jika tiada wuduk, solat menjadi tidak sah. Tetapi jika sakit, wuduk boleh digantikan dengan tayammum. Apapun, yang penting thoharah atau bersuci itu tidak boleh ditinggalkan. 

Malang sekali, ada yang mengatakan bahawa semua perkara ada muthaghayyirat kerana zaman kan dah berubah, jadi Islam mesti ditafsir semula dan hukum-hukum Islam perlu dilihat semula. Inilah konsep Islam tanpa syariat yang sedang diperjuangkan di negara-negara Islam moden pada hari ini seperti di Turki (Erdogan), Tunisia (Rasyid Ghannushi yang menggerakkan Gerakan An-Nahdah) dan Algeria (Muhammad Arkun) termasuklah negara kita yang sedang dilaksanakan. 

Bagi mereka, tidak perlu dibicarakan mengenai hukum dan syariat. Islam kan adil, jujur, tadbir dengan baik. Tidak perlu menjalankan hukum pun tidak mengapa. Solat dan puasa adalah urusan peribadi. Tidak perlu haramkan arak dan judi. Tidak perlu menutup kelab malam. Yang berjaya mengurangkan cabutan judi dilihat lebih bagus daripada yang berjaya menghapuskan judi dengan tidak memberikan lesen. Hal ini terjadi kerana dipengaruhi oleh pemikiran Barat. 

Khabar gembira bagi orang beriman

قَيِّمًا لِّيُنذِرَ بَأْسًا شَدِيدًا مِّن لَّدُنْهُ وَيُبَشِّرَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا حَسَنًا

“(Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.”

(al-Kahfi: 2)

مَّٰكِثِينَ فِيهِ أَبَدًا

“Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.”

(al-Kahfi: 3)

Tujuan Nabi diutuskan adalah untuk membawa khabar gembira dan juga khabar buruk. Khabar gembira yang dibawa ialah orang yang beriman dan beramal soleh diredhai oleh Allah, dimasukkan ke dalam syurga serta memperoleh ganjaran pahala dan nikmat yang besar di akhirat. Khabar buruk pula ialah orang yang tidak beriman dan bermaksiat akan dimasukkan ke dalam neraka dan diazab oleh Allah. 

Maka, orang yang memperoleh khabar gembira ialah orang beriman yang melaksanakan amal soleh. Amal soleh adalah amal yang baik mengikut ajaran al-Quran dan Hadis. Fudhail bin Iyad memberikan takrif bahawa syarat amal diterima ada dua perkara iaitu ikhlas dan menepati Sunnah Nabi. Misalnya, apabila berpakaian pakailah pakaian kerana Allah dan pakaian yang menepati syariat dan Sunnah Nabi dengan menutupi aurat, tidak menzahirkan kebanggaan dan bermewah-mewah serta tidak melampaui batas. Pakaian mewah seperti jubah yang meleret dan sutera adalah haram dipakai (hanya dibolehkan dalam keadaan tertentu sahaja seperti ditimpa penyakit kulit). Emas juga begitu namun dibolehkan dalam perubatan seperti sumbing gigi. 

Tuhan ada anak? Itu dakwaan yang salah sama sekali

وَيُنذِرَ ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ ٱتَّخَذَ ٱللَّهُ وَلَدًا

“Dan juga al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:” Allah mempunyai anak”.”

(al-Kahfi: 4)

Terdapat kepercayaan yang mengatakan bahawa Tuhan mempunyai anak. Antaranya ialah:

1. Orang-orang Arab Jahiliyah mendakwa anak Tuhan adalah malaikat yang berjantina perempuan. Dakwaan tersebut dibuat kerana mereka tidak menyukai anak perempuan. 

2. Orang-orang Kristian atau Nasara (pengikut Nabi Isa yang berada di Nazareth) mendakwa anak Tuhan ialah Nabi Isa. Alasan mereka adalah Maryam, ibu Nabi Isa mengandungkannya tanpa seorang suami. 

3. Orang Yahudi mendakwa anak Tuhan ialah Nabi Uzair. Beliau ialah salah seorang Nabi dalam kalangan Bani Israel. Pada suatu hari, beliau membawa makanan dan keluar berjalan-jalan dengan menaiki keldai. Setiba di satu kampung lama di tengah-tengah padang pasir, didapati bahawa bangunan sudah runtuh dan tulang pun sudah hancur. Beliau termenung seketika, bagaimana Allah akan menghidupkannya semula? Kerana dalam Islam ada kehidupan selepas kematian. Lalu, Allah mematikannya selama 100 tahun. Beliau tidak dijumpai oleh orang-orang kampung yang mencarinya di serata tempat. Selepas itu, Allah menghidupkannya semula. Beliau menyangka tidur selama semalaman sahaja. Kejadian itu menimbulkan keyakinannya terhadap kekuasaan Allah. 

Surah al-Ikhlas menjawab semua pemikiran yang sesat. Surah ini membersihkan diri kita. Menurut ulamak, 1 surah ini menyamai 1/3 al-Quran. Kerana al-Quran secara umumnya terbahagi kepada tiga iaitu ketuhanan, kenabian dan akhirat. 

Surah al-Ikhlas disebut sebagai Tauhid Qauli (penyataan tauhid secara sebutan). Manakala surah al-Kafirun disebut sebagai Tauhid Amali (penyataan tauhid secara praktikal) iaitu menyembah Allah semata-mata bukan makhluk. 

“Lakum dinukum waliyadiin” menjadi pemisah antara orang Islam dengan bukan Islam. Antara perkara yang dilarang adalah:

1. Memakai pakaian yang menyerupai pakaian agama lain seperti pakaian paderi.

2. Menyambut Hari Krismas (Adapun ucapan selamat kepada rakan-rakan yang bukan-Islam maka dibolehkan menurut sebahagian ulamak). 

3. Menghidangkan arak kepada rakan-rakan yang bukan-Islam yang minum arak dalam satu majlis atas alasan ‘business partner’ dan dakwah, apatah lagi tolong bayar minuman tersebut.

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 2 Januari 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 6/1/2023

Rujukan:

[1] Hadis Riwayat Ibnu Majah, no Hadis 3803.

- Advertisement -