ALOR SETAR: Semua pihak dalam barisan kepimpinan negeri disarankan agar memainkan peranan membantu Kerajaan Negeri merancang kekuatan negeri agar dapat dioptimumkan sejajar dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan Gagasan ‘The Greater Kedah’.
Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah bertitah, dalam merencana pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat adalah nadi penting bagi kerajaan yang baik dan stabil serta dapat melangsungkan ekonomi dan mensejahterakan rakyat.
“Beta memuji keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang memberi fokus kepada rakyat kurang berkemampuan seperti mendirikan rumah kediaman melalui inisiatif Desa Sejahtera.
“Komitmen ini secara langsung dapat memberi nafas lega kepada rakyat yang berada di bawah paras garis kemiskinan,” titah Baginda pada majlis pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Dalam pada itu, titah Baginda lagi, bagi merealisasikan pembangunan yang dirancang dan menjamin kesejahteraan rakyat, baginda menyarankan agar hasil pendapatan negeri ditingkatkan.
Justeru, baginda menegaskan agar pihak yang terlibat memastikan ketirisan hasil negeri dapat diminimumkan kerana hal itu boleh menyebabkan kerugian hasil dengan memastikan tindakan penguatkuasaan secara berterusan dilaksanakan.
Hukuman tegas juga titah baginda, wajar dikenakan ke atas setiap kesalahan yang dilakukan.
Inisiatif keterjaminan makanan
“Dalam usaha untuk memastikan keterjaminan bekalan beras negara, Beta amat menyokong pelaksanaan inisiatif penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun di kawasan jelapang padi.
“Namun begitu, kawasan luar jelapang padi juga perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak yang terlibat agar jumlah pengeluaran padi
dapat ditingkatkan.
“Justeru, Beta ingin menyarankan agar pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dapat meningkatkan usaha melaksanakan kajian berterusan dan menggunakan teknologi moden yang cekap.
“Penghasilan padi juga bergantung kepada sumber air dari kawasan hutan tadahan air yang turut menyokong keperluan domestik dan industri,” titah Tuanku Sultan lagi.
Dalam hal lain, Tuanku juga mengingatkan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berperanan sebagai semak dan imbang kerajaan, menggubal dasar dan undang-undang negeri serta mengawal belanjawan negeri.
“Semua Ahli Yang Berhormat perlu faham tanggungjawab ini, agar setiap pandangan dan kritikan yang disuarakan adalah bersifat membina demi kepentingan negeri dan rakyat, bukannya dianggap sebagai kecaman yang mengundang perbalahan,” titah Baginda lagi.
Berikutan itu Tuanku juga berhasrat agar kerajaannya, sentiasa peka dan proaktif untuk meneliti dan menyemak semula dasar dan peraturan agar kekal relevan dengan keperluan semasa demi kepentingan negeri.
Terutamanya titah baginda, melibatkan hak sebagaimana yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah dan
Perlembagaan Persekutuan.
Barisan ADUN-ADUN yang mewakili suara rakyat di peringkat akar umbi juga disaran baginda agar sentiasa menyelami masalah dan keperluan rakyat terutamanya apabila bencana yang tidak diduga di samping menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat.
Dalam pada itu, baginda turut mengimbau kejadian bencana banjir yang tidak diduga berlaku pada penghujung 2024 melibatkan hampir 10,000 mangsa yang dipindahkan serta kerosakan pelbagai infrastruktur utama menjejaskan hampir 16,000 hektar kawasan sawah padi.
“Di kesempatan ini, Beta ingin menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membuktikan komitmen dan pengorbanan bekerja siang dan malam, tanpa mengira waktu menghulurkan khidmat, berusaha sedaya mungkin untuk meringankan tanggungan mangsa-mangsa banjir,” titah baginda.
Prestasi baik ekonomi diteruskan
Baginda turut mengucapkan tahniah atas kejayaan Kedah berada di kedudukan keempat dalam negara, dengan jumlah keseluruhan pelaburan masuk sebanyak RM45.8 bilion, berbanding RM28.7 bilion bagi tahun 2023, serta mengharapkan prestasi baik itu dapat diteruskan agar ekonomi negeri terus kukuh serta berdaya mampan.
Sultan Sallehuddin juga menyarankan agar kawasan perindustrian yang sedia ada diperkasa di samping meneroka kawasan-kawasan baharu berpotensi untuk dimajukan.
Khususnya di daerah Bandar Baharu dengan mengambil peluang dan manfaat daripada limpahan pembangunan kawasan industri baharu di negeri yang bersempadan dengan negeri Kedah.
“Dengan mengambil kira konsep ‘supply and demand’, Kerajaan Negeri dan Persekutuan hendaklah memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur yang lengkap, apabila ekosistem pelaburan dapat diwujudkan, barulah pelabur berminat untuk datang ke Kedah.
“Kedudukan negeri ini yang berjiran dengan Negara Thailand juga hendaklah dimanfaatkan melalui pembangunan bandar sempadan yang melibatkan pelbagai peluang ekonomi serta perniagaan rentas sempadan khususnya sebagai hab logistik dan industri.
“Beta berharap Kerajaan Negeri dan agensi yang berkaitan dapat mengambil tindakan proaktif dan lebih agresif untuk membawa masuk pelabur terutama ke kawasan Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (SEBZ),” titah Baginda.
Dalam perkembangan lain, Tuanku juga berpendirian tegas agar kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda dilindungi sebagai jaminan kelestarian sumber air yang mencukupi dan selamat di samping menjamin pengekalan pelbagai spesies flora dan fauna.
“Beta amat menyambut baik program Penanaman Dua Juta Pokok yang diterajui oleh Jemaah Dato’ Seri Negeri Kedah. Usaha ini perlu digembleng secara bersama oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dalam memupuk kesedaran di kalangan rakyat Beta mengenai kepentingan memelihara dan mengekalkan kelestarian alam sekitar.
“Sepertimana Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Sesungguhnya dunia ini hijau dan cantik, dan Allah telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.” titah Baginda lagi. – HARAKAHDAILY 20/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!