Lakar sejarah tubuh Dewan Ulamak Kawasan

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: PAS Kawasan Nibong Tebal melakar satu lagi sejarah apabila berjaya membentuk Jawatankuasa Penaja Dewan Ulamak PAS Nibong Tebal dalam satu majlis di Dewan Saiditina Khadijah, Masjid Sungai Duri, di sini semalam.

- Advertisement -

Penubuhan itu selaras pindaan Perlembagaan PAS yang telah diluluskan pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 yang berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada tahun lalu.

Ketua Penaja Dewan Ulamak PAS Nibong Tebal, Ustaz Rijaluddin Yahya menyatakan, kewujudan Dewan Ulamak akan memperkasakan organisasi di peringkat kawasan seiring keberadaan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

“Gabungan para asatizah pendakwah dan amilin ini akan menguatkan organisasi dan membolehkan penyampaian agenda dakwah, tarbiyah dan siyasah berteraskan al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qiyas berlaku secara terancang,” ujarnya.

Sementara itu, Yang DiPertua PAS Nibong Tebal, Nor Zamri Latiff dalam ucapannya menyifatkan penubuhan penaja dengan 55 anggota ini akan menyemarakkan lagi agenda PAS ke medan masyarakat.

Akui beliau, sememangnya peranan para ulamak sangat perlu di lapangan masyarakat untuk terlibat serta dalam rutin parti seperti aktiviti ziarah, sukan dan program penduduk disamping pengajian kitab di surau dan masjid.

Malah ujarnya, amat penting anggota Ulamak turut memegang jawatan dalam institusi masyarakat seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan serta komuniti seumpamanya.

Perasmian penubuhan itu telah disempurnakan Setiausaha Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Dr Fazali Manas yang dalam ucapannya turut menyeru para Ulamak di Kawasan memposisikan diri dalam agenda kerajaan.

Jelas beliau, selain bertujuan untuk melebarkan dakwah dan memandu hukum, ianya juga sebagai medan amal dan ikhlas bagi mencipta pahala sebagaimana para Sahabat R.A yang wafat di luar Makkah dan Madinah kerana dakwah dan jihad. – HARAKAHDAILY 16/8/2020

- Advertisement -