PORT DICKSON: Pemuda PAS perlu memimpin agenda penjenamaan ekonomi anak muda dengan lebih terancang dan tidak dilakukan secara terburu-buru, serta mampu mendepani cabaran massa ketika ini.
Perwakilan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohamad Firdaus Mohamed Nawi berkata, dengan situasi pasaran dan ekonomi terumbang-ambing disebabkan pandemik COVID-19, anak muda sememangnya perlu dibantu.
Kerana ujarnya, tekanan yang berlaku hingga menyebabkan kesan buruk di mana lahirnya jenayah, sekali gus penyelesaian membumi itu juga mestilah menurut panduan syarak.
“Kena sedia dan rancang bermula silibus pembentukan minda usahawan di peringkat seawal sekolah rendah lagi. Sebab, kebanyakan ibu bapa tanam dalam minda anak-anak, supaya belajar sungguh-sungguh untuk kerja kerajaan untuk dapat pencen.
“Perkara ini selalu disebut ibu ayah. Kita dapati yang graduan pun masih buru pekerjaan dalam kerajaan. Sedangkan kerja kerajaan bukan satu-satunya tempat untuk dapat duit atau kukuhkan ekonomi.
“Jadi usaha memupuk minda usahawan ini kena adakan sejak sekolah untuk bina diri sendiri dan tidak bergantung hanya satu peluang pekerjaan,” ujarnya membahas Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-62 di Corus Paradise Resort, di sini sebentar tadi.
Katanya, silibus pembentukan minda juga kedudukan seorang usahawan juga perlu meneguhkan disiplin kerana ramai hendak membaiki ekonomi sendiri tetapi tidak mempunyai disiplin.
Malah kesalinya, apabila berlaku kemerosotan, mulai percayakan perkara tahyul dan khurafat.
Beliau turut mengutarakan supaya berlaku tambahan silibus ko-kurikulum mengenai e-dagang, sistem bursa saham dan sebagainya di mana secara realiti ramai anak muda tidak tahu mengenainya.
Sedangkan ujar beliau, bidang usahawan dan ekonomi ini memiliki peluang meraih pendapatan lebih lumayan, serta terbuka banyak peluang kerjasama dengan agensi kerajaan serta pemain industri bidang perniagaan lain.
“Nak meniaga, tapi tak nampak jalan, akhirnya buat secara try and error. Jadi hal ini perlu YB-YB Pemuda kita kena lontarkan ke Parlimen dan lain-lain peringkat. Banyak agensi kerajaan boleh bantu ekonomi diri ke arah usahawan,” ujarnya.
Beliau juga meminta supaya dikaji semula kursus pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) yang selaras saiz pasaran kerja kerana kebanjiran pekerja di satu-satu sektor masih berlaku dan menyebabkan rantaian masalah ekonomi.
Oleh itu tegasnya, penawaran kursus pengajian mestilah selaras janji peluang pekerjaan yang ada, selain mesti membanteras dan hentikan diskriminasi kaum dalam pekerjaan seperti syarat bahasa Mandarin dan sebagainya.
Turut disentuhnya adalah memperbanyakkan latiham berkaitan untuk bidang pekerjaan, selain mengkaji semula pencen supaya dipendekkan kepada umur 55 tahun. – HARAKAHDAILY 30/10/2021
Penjenamaan ekonomi anak muda mesti diperkasa
- Advertisement -