TAPAH: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa pemilihan pemimpin dalam Islam adalah suatu amanah besar yang harus dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Dalam konteks Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeti (DUN) Ayer Kuning, beliau mengingatkan para pengundi khususnya umat Islam agar memilih pemimpin berlandaskan prinsip Islam iaitu adil dan saksama.
“Urusan memilih pemimpin bukan perkara main-main. Pemilihan pemimpin adalah amanah yang akan dihisab di akhirat kelak. Pemimpin yang dipilih haruslah mampu melaksanakan hukum Allah secara adil.
“Pemimpin juga harus memberi manfaat kepada seluruh umat, tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa,” ujar tokoh ulama yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang itu.
Beliau berucap pada Ceramah Mega PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK N.48 DUN Ayer Kuning di pekarangan PASTI As-Syakirin di Kampung Tanjung Keramat, di sini malam tadi.
Jelas Tuan Guru, dalam sejarah Islam, pemimpin bukan sahaja berperanan sebagai pembawa dakwah, tetapi juga sebagai pemimpin politik yang mentadbir urusan umat berdasarkan wahyu Allah SWT.
Oleh itu ujarnya, umat Islam wajib memilih pemimpin yang dapat memimpin negara dengan panduan Islam yakni mengikut ajaran Nabi Muhammad SAW.
“Rasulullah SAW adalah pemimpin yang mentadbir umat dengan adil, dan selepas kewafatan Baginda, umat Islam wajib melahirkan pemimpin yang memimpin negara dengan prinsip Islam,” jelas beliau.
Ceramah berlangsung dalam suasana penuh semangat menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning pada 26 April itu bergema dengan laungan takbir dan sokongan padu terhadap calon PN, Ustaz Abdul Muhaimin Malek.
Orang bukan-Islam dibenar ternak, jual-beli babi
Tan Sri Tuan Guru turut menjelaskan bahawa di dalam Islam terdapat garis panduan yang jelas berhubung urusan berkaitan haiwan haram seperti babi, khususnya apabila melibatkan masyarakat bukan-Islam.
Menurut beliau, hukum fiqh mengiktiraf keperluan tertentu bagi masyarakat bukan-Islam yang tinggal dalam negara Islam, termasuk keperluan memelihara dan berniaga babi, namun ia perlu dilaksanakan dalam batas dan kadar dibenarkan syarak.
“Benda yang diharamkan kepada orang Islam, nak jual kepada orang Islam tidak boleh. Tetapi bagi bukan-Islam, ada keperluan. Maka boleh bela, tapi dalam kadar yang patut mengikut keperluan,” katanya dalam ceramah itu.
Tuan Guru merujuk kepada pandangan dalam fiqh Mazhab Hanafi yang membolehkan penerimaan cukai daripada perniagaan bukan-Islam seperti penternakan dan jual beli babi, asalkan ia diurus secara terasing dan adil.
“Malah dalam mazhab Hanafi, dibolehkan ambil cukai babi daripada perniagaan bukan-Islam, tapi mesti diletakkan dalam akaun khas dan hanya disalurkan kepada bukan-Islam. Ini sempadan yang perlu diketahui. Ini ada hukum, bukan main-main,” jelas beliau.
Tambah beliau, pemahaman terhadap hukum ini penting bagi memastikan pentadbiran negara Islam tidak menzalimi hak masyarakat bukan-Islam, sambil memastikan umat Islam tetap mematuhi larangan yang telah ditetapkan oleh syariat. – HARAKAHDAILY 20/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!