Bahana PAN meludah ke langit

pan
- Advertisement -

PEMUDA PAN Kelantan berhajat memperli Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan posting di bawah. Kononnya apabila sektor-sektor ekonomi mula dibuka hari ini melalui PKPB maka kedai-kedai judi dan kilang-kilang arak juga akan turut beroperasi. Tetapi dalam waktu yang sama masjid-masjid terus ditutup.

Ternyata bahana hilang kuasa, pangkat dan kedudukan buat PH khususnya PAN cukup trajis dan terus menghantui minda dan jiwa mereka. Lalu sifat dengki, iri hati dan marah memuncak mendorong mereka untuk menyerang membabi-buta Kerajaan PN yang kononnya masuk melalui pintu belakang.

Isu pintu belakang ini sudah terlalu lapuk lantaran tiada asas dan tiadalah hajat saya untuk mengulas. Kepada budak-budak nakal PAN, sedarlah yang parti kamu dulu ditubuhkan oleh gerombolan yang tewas dalam pemilihan PAS dengan matlamat kononnya untuk menggantikan PAS. Sedarlah Fasal 3 Perlembagaan kamu berbunyi: “Memartabat dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan”.

- Advertisement -

PN baru 2 bulan lebih berkuasa, kami tegakkan Kerajaan yang didominasi kuasa politik Melayu Islam dengan aspirasi membela agama, bangsa dan negara dengan memastikan Kerajaan yang didominasi DAP dan sekutunya yang ekstrem, rasis dan Chavunis tidak sekali-kali akan kembali berkuasa.

PAN dahulu melalui PH telah berkuasa 22 bulan, Islam apakah yang telah kamu perjuangkan? Fahaman Liberal dirai, LGBT diberi tempat, tandas untuk Transeksual kamu perjuangkan, tuntutan hak untuk menukar agama kamu diamkan, apa yang kamu perjuangkan?

Dengan dominasi DAP judi dan arak terus makmur bawah PH malah mencatat keuntungan lipat kali ganda sebagaimana dilaporkan ke Bursa Malaysia. Di mana PAN ketika itu? Hari ini PAS baru 2 bulan lebih memerintah bersama PN dan kamu sudah mula pertikai dan persoal.

InsyaAllah umum mengetahui PAS sentiasa komited dalam perjuangan memartabatkan Islam, tidak pernah dan tidak rela sekali-kali ia menjadi terompah kayu pihak ketiga demi mengejar kuasa sehingga tergamak menggadaikan maruah agama dan bangsa.

Kerana itu bila berkrisis dengan DAP dalam bab prinsip perjuangan semasa dalam Pakatan Rakyat dahulu PAS rela keluar meninggalkan pentas kuasa kerana menyelamatkan maruah Islam yang diperjuangkan. PAN bagaimana? Janganlah acap meludah ke langit kelak tertepek di muka sendiri.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 4/5/2020

- Advertisement -