Yakin kekuatan doa, kagum komitmen jentera PRK

- Advertisement -

TAPAH: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek berharap semua pihak mendoakan kejayaan jentera PN yang kini giat bergerak membantu kempen.

Yang Dipertua PAS Kawasan tapah ini berkata, gerak kerja jentera datang dari seluruh negara menunjukkan komitmen amat mengharukan dan telah memberikan kekuatan besar kepadanya selaku calon yang diamanahkan.

“Saya merayu doa. Saya jumpa siapa-siapa pun saya minta doa, sebab saya lihat jentera kita sedang bergerak hebat. Jentera kita dari seluruh negara.

“Saya lihat ada satu orang warga emas, umur 60-an angkut buluh. Ustaz Misbah kita lihat di UDM Jeram Mengkuang, daripada Bagan Serai ke… daripada mana saya tak ingat. Umur 60-an lilit buluh tu, angkut, angkat letak atas 4 wheel.

“Saya nak menangis, tapi kalau saya menangis di mana kelelakian saya. Jadi saya tahan, tapi hati saya sedih. Sedih bukan sedih apa, saya rasa terharu,” katanya dalam ceramah Unit Daerah Mengundi (UDM) Batu Tiga, malam tadi.

Beliau berkata, walaupun ada yang kurang sihat, mereka tetap menggagahkan diri untuk membantu kerja-kerja yang disifatkannya sebagai mulia.

“Ada yang kurang sihat sebenarnya, tetapi gagahkan diri untuk dapatkan kesihatan daripada Allah Taala dengan membantu kerja-kerja mulia ni. Saya kira kerja-kerja mulia.

“Sebab kita masuk PRK ni kita bukan nak kata kat orang, kita bukan nak jatuhkan aib sesiapa, tak. Kita nak jatuhkan kerajaan. Tak salah jatuh kerajaan melalui pintu, bukan ikut tingkap. Itu jalan demokrasi yang ada.

“Dan saya kira PRK ni adalah laluan mudah untuk kita tumbangkan Kerajaan PH-BN dalam PRU-16 nanti,” katanya.

Menurut Abdul Muhaimin, beliau setiap hari meminta doa daripada sesiapa sahaja ditemuinya, kerana baginya kekuatan doa lebih hebat daripada tenaga fizikal yang dicurahkan.

“Saya merayu doa-doa. Saya jumpa pak cik tadi saya kata, ‘Pak cik doakan sayalah kan, Pak cik buat kerja dan dalam masa sama berdoa.’ Saya jumpa siapa-siapa pun tadi saya pi Coldstream, tersilap pi minta doa kat Tionghoa.

“Tak apalah kan. Pasal mulut kita duk minta doa, minta doa. Kita pi salam satu orang uncle tu, ‘Uncle doakan saya.’ Saya pun terlupa kan dia nak doa apa, tapi dia berdoa. Dia kata dimudahkan urusan. Saya pun tak kata apa, saya kata amin sajalah. Tak tahulah doa dia diterima ke tak.

“Itu sebab saya cuba setiap hari jumpa siapa-siapa pun saya nak minta doa. Nak minta doa kerana kuasa doa ini lebih ajaib daripada kederat yang telah kita tumpahkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon rayu restu dan doa daripada semua yang istiqamah dalam ibadah, agar kemenangan berpihak kepada PN pada 26 April ini.

“Maka mohon rayu restu doa tuan-tuan dan puan-puan yang bangun sembahyang malam, yang jaga sembahyang-sembahyang sunat, doakan Perikatan Nasional.

“Insya-Allah kita nobatkan Perikatan Nasional ADUN di N.48 Ayer Kuning ini pada tanggal 26 hari bulan April ini. Insya-Allah semoga kerja buat kita diberi pahala oleh Allah SWT. Semoga hasrat rakyat jelata kita dapat diselesaikan insya-Allah pada masa yang ditentukan,” katanya. – *HARAKAHDAILY 19/4/2025*

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!