Promosi Perlis lebih luas kepada rakyat Jepun – Shukri

- Advertisement -

KANGAR: Perlis perlu diperkenalkan secara lebih meluas kepada masyarakat antarabangsa terutamanya rakyat Jepun yang masih ramai tidak mengetahui kewujudan negeri terletak di utara Semenanjung Malaysia itu.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, perkara tersebut terbukti apabila pelabur dari Jepun yang telahpun melabur di negeri ini iaitu Shorubber dan Irichi mengakui bahawa mereka pada awalnya tidak mengetahui mengenai Perlis.

“Kebanyakan rakyat Jepun hanya kenal Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, tetapi tidak Perlis. Ini adalah satu kelemahan yang perlu kita atasi dengan strategi promosi yang lebih tersusun dan menyeluruh,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Machida Shinya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, hari ini.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri kini sedang merangka pelbagai inisiatif promosi termasuk memperkenalkan produk-produk pelancongan tempatan kepada masyarakat Jepun sebagaimana yang telah dilaksanakan kepada pelabur sedia ada.

“Kita juga bercadang untuk menghimpunkan pelajar-pelajar Perlis yang sedang melanjutkan pengajian di Jepun bagi membantu usaha promosi dan mengukuhkan jaringan dengan masyarakat setempat di sana,” jelasnya.

Dalam pertemuan tersebut, turut dibincangkan ialah potensi pelaburan di negeri Perlis, khususnya di kawasan Chuping Valley Industrial Area (CVIA) yang dilihat mempunyai kelebihan dari segi kos.

“Harga tanah di sini masih rendah, sekitar RM20 sekaki persegi berbanding harga di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang jauh lebih mahal. Insya-Allah, pihak Konsul Jeneral akan memanjangkan perkara ini kepada pelabur-pelabur Jepun,” katanya.

Kunjungan hormat tersebut disifatkan Mohd Shukri sebagai langkah positif dalam memperkukuh hubungan diplomatik serta membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik antara Perlis dan Jepun pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 18/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!