Boikot produk Perancis, jihad pertahan Rasulullah

- Advertisement -

IPOH: Pengerusi Lajnah Hubungan NGO PAS Pusat, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, semua pihak khususnya Badan Bukan Kerajaan (NGO) hendaklah menyokong usaha kempen memboikot produk keluaran Perancis.

- Advertisement -

Menurutnya, protes ini wajar didukung berikutan tindakan pemimpin negara itu yang sengaja mengapi-apikan sentimen anti-Islam dengan menyentuh sensitiviti agama iaitu melalui kebenaran penerbitan kartun menghina Rasulullah S.A.W.

“Kempen boikot ini adalah sebagai tindak balas (utama) ke atas tindakan biadab Presiden Perancis (Emmanuel Macron) yang telah mencetuskan kemarahan umat Islam.

“Dalam kenyataannya (beliau) mendakwa Islam sebagai agama krisis dan mengumumkan akan adanya rancangan undang-undang yang lebih keras untuk menangani ‘pemisahan Islamis’ di Perancis.

“Umat Islam ada tahap kesabarannya. (Kami) tidak rela Nabi dihina sebegitu rupa. Saya yakin, umat Islam bersedia mati untuk mempertahankan kemuliaan Rasulullah S.A.W.

“Maka kita perlu bertindak dengan kemampuan yang ada iaitu lumpuhkan ekonomi negara mereka,” ulasnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menerangkan, tindakan itu wajar disahut sebagai tanda kasih dan sayang kepada perjuangan baginda S.A.W yang baru sahaja diraikan sambutan kelahirannya. 

Oleh hal demikian, Ustaz Misbahul Munir menyeru orang ramai dan pihak NGO menyiarkan sepanduk boikot produk keluaran Perancis dan digantung di tempat laluan ramai seperti kawasan berhampiran pusat membeli belah atau pasar raya.

“Apabila Islam dan Nabi Muhammad S.A.W dihina, (tetapi) kita masih lagi berdiam seolah tiada apa-apa, (maka) muhasabahlah. Sejauh mana tahap kecintaan kita Islam ini. Jangan biar (ia) sekadar pada lisan,” pesannya. – HARAKAHDAILY 2/11/2020

- Advertisement -