Mahu kempen perangi dadah dipergiatkan

- Advertisement -

IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyokong agar kempen ‘Dadah Musuh Nombor Satu Negara’ wajar diteruskan dalam mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap bahaya dadah.

Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, kegiatan dan pengambilan dadah menjadi punca yang mengundang pelbagai jenayah lain dan masalah hidup berpanjangan lebih-lebih lagi melibatkan generasi muda.

- Advertisement -

Beliau merakamkan tahniah kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas kejayaan menumpaskan sindiket dadah yang menjadikan sebuah kilang sebagai pemprosesan ketamin di Pusing, Batu Gajah.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah merampas dadah seberat 2 tan bernilai RM111.2 juta serta turut menahan tiga lelaki dan tiga lagi masih diburu.

Difahamkan, jumlah dadah sebesar itu mampu menampung ‘keperluan’ 6.7 juta penagih, sekali gus menunjukkan pentingnya peranan semua pihak mengekang jenayah ini dari merosakkan anak bangsa.

“Sememangnya kewibawaan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang baharu mengemudi cawangan tersebut diharap dapat memberi impak besar dalam usaha membanteras jenayah dadah khususnya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kami amat berkeyakinan dan berharap agar pihak berautoriti terus memainkan peranan khususnya dalam memperketat penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia berterusan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/1/2022

- Advertisement -