KUALA TERENGGANU: Tiada sebarang garis panduan rasmi berkenaan kod pakaian pekerja wanita di premis makanan dan kedai francais yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, walaupun tiada peraturan khusus ditetapkan, para pekerja wanita digalakkan berpakaian sopan.
“Untuk mematuhi nilai-nilai budaya tempatan serta prinsip kesopanan yang ditekankan oleh kerajaan neger. PBT tiada sebarang Garis Panduan Kod Pakaian Pekerja Wanita di kedai makanan dan kedai francais kerana ia adalah di luar bidang kuasa PBT.
“Punca kuasa bagi premis makanan, restoran, dan kedai makan adalah berdasarkan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) sebagaimana Undang-Undang Kecil (UUK) Establismen Makanan Pihak Berkuasa Tempatan. Undang-Undang Kecil (UUK) Pengendali Makanan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Dr Mamad Puteh (PAS-Kuala Berang) dalam soalannya minta menyatakan garis panduan kod pakaian untuk pekerja wanita di reruai makanan dan kedai francais sesuai dengan pendekatan kerajaan negeri hari ini.
Tambah beliau, syarat-syarat yang dikenakan kepada pengendali makanan adalah berdasarkan peruntukan dalam Akta Makanan 1983 (Akta 281), seperti kewajiban memakai penutup kepala, apron dan kasut semasa bertugas, sebagai sebahagian daripada syarat lesen premis makanan.
Dalam pada itu, Wan Sukairi berkata, jika terdapat kesalahan pemakaian yang dianggap tidak sopan di tempat awam, tindakan hanya boleh diambil oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di bawah Seksyen 34, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001.
“Kesalahan berpakaian tidak sopan di tempat awam yang boleh dikenakan denda sebanyak RM 1,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!