Usaha PM tangani keresahan rakyat dipuji

Wujudkan pelan terperinci pastikan kelangsungan hidup, ekonomi negara dan tangani keresahan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keresahan rakyat akan dapat diredakan dengan kesepaduan hasrat untuk merungkai kemelut hari ini terutama dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan iklim politik yang tidak menentu secara penuh bijaksana.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Rosni Adam berkata, hasrat kerajaan mewujudkan Pelan Jangka Masa Sederhana-Panjang menangani keresahan rakyat amat dialu-alukan dan menjadi keperluan.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan ke atas kesungguhan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sentiasa beriltizam memberikan inisiatif terbaik bagi kesejahteraan rakyat.

“Bagi memastikan keberhasilan apa yang diharapkan oleh Perdana Menteri saya melihat hasrat murni ini harus didukung bersama oleh setiap agensi dan para pimpinan politik.

“Setiap lapisan masyarakat juga perlu berganding bahu, bersatu hati  untuk realisasikan impian kita bersama iaitu melahirkan sebuah negara makmur di mana rakyat dapat hidup dengan penuh nilai-nilai kesejahteraan,” ujarnya.

Puji beliau, perkara tersebut selaras ayat 71 surah at-Taubah mengenai sifat orang beriman akan bertolongan dan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang kejahatan dengan mendirikan solat, memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul.

Perdana Menteri dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, pelan tersebut akan diwujudkan dengan lebih terperinci untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi negara, termasuk bagi menangani keresahan rakyat.

Menurutnya, beliau sedar keresahan rakyat menghadapi situasi pandemik COVID-19 pada masa ini masih belum reda, yang menyebabkan kebergantungan kepada kerajaan semakin tinggi.

Mengakui senario menguruskan COVID-19 sekarang telah berubah, Muhyiddin mengajak semua ahli mesyuarat MKN untuk lebih fokus dalam usaha memerangi wabak itu serta membuktikan Malaysia pasti akan menang melawan pandemik berkenaan.

“Beliau turut mengingatkan ahli mesyuarat supaya lebih teliti dalam membuat keputusan untuk menguruskan COVID-19 dengan lebih berkesan.
 
“Setiap keputusan yang dibuat mestilah difahami manfaat, risiko dan kesannya kepada kesihatan dan ekonomi rakyat,” menurut kenyataan itu kelmarin dahulu. – HARAKAHDAILY 26/10/2020

- Advertisement -