KUALA TERENGGANU: Menyedari impak besar hakisan pantai terhadap keselamatan penduduk, alam sekitar dan sektor pelancongan, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif melalui pendekatan dua hala penyelesaian segera dan perancangan jangka panjang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Hanafiah Mat mengakui bahawa isu hakisan pantai bukanlah perkara baharu, namun memerlukan perhatian berterusan.
Beliau berkata, sebagai langkah segera, kerajaan telah melaksanakan pemasangan struktur lapis lindung batu di beberapa kawasan pantai yang kritikal.
“Rekabentuk yang dicadangkan bukanlah struktur kekal dan ia bagi memberi perlindungan pantai yang mampu menahan hakisan dan mengurangkan kesan buruk terhadap kawasan yang terjejas.
“Pelaksanaan projek untuk penyelesaian cecara jangka masa panjang. Kerajaan sememangnya memandang serius masalah hakisan pantai yang berlaku di seluruh Malaysia. Oleh yang demikian, masalah ini perlu ditangani secara berperingkat.
“Ia memandangkan kos bagi melaksanakan kaedah mengawal hakisan pantai seperti pembinaan ‘groyne’, penambakan pasir, pembinaan lapis lindung batu mahupun membina struktur pemecah ombak bagi mencegah hakisan pantai adalah sangat tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Sulaiman Sulong (PAS-Pengkalan Berangan) ingin tahu tindakan kerajaan negeri dalam menangani isu hakisan pantai di Negeri Terengganu dan berapakah keluasan pantai yang telah terkesan oleh hakisan tersebut semenjak dari tahun 2020 sehingga 2025.
Menurut Hanafiah, berdasarkan kepada pemerhatian secara fizikal, panjang pantai yang terhakis di seluruh Negeri Terengganu adalah 70.43 km.
“Penentuan keluasan hakisan agak sukar untuk ditentukan dengan tepat memandangkan selepas monsun timur laut (MTL), sebahagian daripada pasir pantai akan kembali semula ke pantai yang terhakis,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan Kajian Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) Negeri Terengganu juga sedang giat dijalankan.
“ISMP mengambilkira isu berkaitan masalah hakisan, muara dan juga guna tanah sepanjang pesisiran pantai di mana objektif pelaksanaan kajian ini adalah membantu kerajaan negeri dan pelbagai agensi di negeri di dalam membuat keputusan berkenaan pembangunan di kawasan pesisir pantai.
“Mengurangkan risiko hakisan pantai serta banjir pantai ke atas harta benda awam. Selain membantu di dalam pembangunan sektor pelancongan di sepanjang garis pantai.
“ISMP juga membantu di dalam pemuliharaan alam sekitar di kawasan pantai merangkumi flora dan fauna bagi mencapai kualiti air yang baik serta mmbantu di dalam perancangan guna tanah disepanjang garis pantai,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!