JAWI pelopor SPBT KAFA

- Advertisement -

DALAM beberapa siri pertemuan dengan Datuk Mohd Ajib Ismail, Pengarah JAWI, saya meminta JAWI memikirkan satu kaedah bagaimana cara lagi untuk membantu anak-anak KAFA di Wilayah Persekutuan khususnya untuk bangkit setelah lama diuji dengan COVID-19. 

Saya amat memahami bagi ibu bapa yang diuji dengan kesempitan hidup. Sedikit sebanyak perkara ini akan menjejaskan pelajaran anak-anak. 

Maka dengan izin-Nya, satu inisiatif berkebajikan direalisasikan hari ini iaitu Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) KAFA. Wilayah Persekutuan menjadi pelopor kepada inisiatif yang bermanfaat ini. 

Satu inisiatif yang memberi manfaat kepada anak-anak kita dalam mendapatkan buku teks bagi mengikuti proses pembelajaran dengan sempurna. 

Bagi fasa pertama pelaksanaan, mulai 21 Mac 2022 (sesi persekolahan baharu), seramai 12,221 murid KAFA JAWI Tahun 1 dan 2 seluruh Wilayah Persekutuan telah menerima bantuan Skim Pinjaman Buku Teks KAFA. 

Sebanyak 46, 550 naskah buku SPBT KAFA meliputi tujuh subjek iaitu, Adab, Aqidah, Bahasa Arab, Ibadah, Sirah, Tilawah Al-Quran, Jawi dan Khat telah diedarkan ke seluruh Wilayah Persekutuan dengan perbelanjaan peruntukan berjumlah RM691,005.00

Saya berharap dengan bantuan pinjaman buku teks ini dapat membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan mahupun yang kehilangan pekerjaan atau terkesan dengan situasi COVID-19 sekali gus membanteras keciciran pelajaran anak-anak kita. Insya-Allah.

YB SENATOR USTAZ IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 31/5/2022

- Advertisement -
- Advertisement -