KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ir Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan bahawa gangguan terhadap sistem dan struktur kerajaan akan membawa implikasi besar kepada kestabilan negara, terutama apabila ia digunakan untuk kepentingan politik sempit.
Beliau berkata, sistem pemerintahan bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya perlu kekal neutral agar pentadbiran negara tidak terperangkap dalam kitaran ganas.
“Perkara paling penting kita ingat bahawa seseorang pimpinan boleh datang dan pergi, dan tidak ada di antara kita boleh menongkat langit berkuasa, ada ketika kita berkuasa dan ada ketika kuasa hilang dari tangan kita. Apa yang kekal ialah, sistem dan struktur sesebuah kerajaan.
“Sistem dan struktur inilah, antara perkara yang tidak boleh sekali-kali di salah guna atau dipaksa-rela digunakan, oleh ‘political masters’ untuk tujuan politik kepartian, sebagai salah satu cara untuk mengekalkan kuasa orang politik, sebagaimana poin 14, 18 dalam tulisan saya.
“Sekiranya sistem dan struktur ini diganggu, maka kita akan berdepan dengan kitaran ganas (vicious cycle), yang akan berulang-ulang setiap kali perubahan politik berlaku dan inilah antara punca ketidakselesaan kalangan penjawat awam, ketida harmonian dalam masyarakat, ketidakstabilan dasar, yang akhirnya membawa pada terhakisnya keyakinan pihak pelabur pada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Beliau turut mengambil contoh kestabilan pentadbiran di negara-negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan, yang sering berlakunya perubahan politik.
“Lihatlah bezanya, di negara sebelah timur ini, contohnya seperti di Jepun dan Korea Selatan, di mana perubahan politik kepartian berlaku saban ketika, tetapi struktur dan sistem Negaranya tetapi kukuh, dan ketidak tentuan ekonomi berada pada tahap yang sangat minima, walau berlaku perubahan politik.
“Inilah antara bentuk reform yang sudah pasti perlu dilaksanakan, mungkin secara berfasa, sekiranya kerajaan yang mengemudi Putrajaya bertukar tangan selepas Pilihanraya Umum ke-16 nanti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan kononnya mempunyai masalah dengan mana-mana agensi kerajaan pusat, termasuk cawangan khas.
“Saya adalah insan kerdil, saya tidak ada masalah sedikit pun dengan mana-mana agensi pelaksana pentadbiran atau dengan mana-mana agensi penguatkuasa di bawah kerajaan pusat, termasuklah cawangan khas.
“Tidak pernah kita merasa tidak selesa walaupun mereka hadir setiap kali sidang DUN dan sidang media, malah pegawai mereka dan kadangkala elemen yang bekerja dengan mereka berada di bilik khusus di atas Dewan ini.
“Perlu jelas, bahawa budaya yang kita tegur ialah penggunaan agensi ini, sebagai alatan untuk mendapat maklumat dalaman politik, tanpa ada check and balance, untuk kegunaan pihak lawan (ingatlah bahawa kita adalah dari parti politik yang sah berdaftar dalam Negara), seterusnya untuk memberikan tekanan tertentu akibat dari perbezaan pandangan politik kepartian,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!