Wujud layanan dua darjat dalam isu ceroboh tanah?

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS Selangor mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang bersifat memberi layanan ‘dua darjat’ dalam menangani kes pencerobohan tanah di negara ini, khususnya melibatkan perbezaan kaum.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad merujuk satu kes melibatkan seorang individu yang dikenakan tindakan segera pihak berkuasa selepas dituduh menceroboh tanah untuk membina jalan sepanjang 150 meter ke tanah miliknya.

“Salah tetap salah tetapi apa beza kesalahan beliau dengan kes di Raub dan Dengkil? Tindakan ke atas beliau diambil dalam masa sehari hanya dengan satu laporan oleh seorang bangsa bukan-Melayu yang mendakwa tanahnya diceroboh.

“Kesalahan yang sama tetapi bagaimana layanan dan tempoh sabitan kesalahan itu berbeza,” pertikainya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Zurk turut membangkitkan beberapa insiden melibatkan pihak tertentu yang bertindak menceroboh tanah kerajaan secara terang-terangan, namun masih menerima layanan penuh diplomasi dan pertimbangan politik.

“Ada kaum yang makan hasil durian secara haram di atas tanah kerajaan masih ada keberanian untuk buat bantahan. Dipertahankan lagi oleh pemimpin DAP yang menjadi sebahagian daripada kerajaan pada hari ini,” bidasnya.

Beliau berkata, terdapat juga kes ceroboh melibatkan pembinaan rumah ibadat dan aktiviti penternakan lembu secara haram di atas tanah kerajaan, namun masih mendapat perhatian Ahli Parlimen kerajaan yang turun ‘melihat sendiri’ status tanah, meskipun kes sudah tular dan disahkan.

“Kedua-dua kes penceroboh ini tiada usaha untuk mendapatkan izin tuan tanah. Mereka tahu itu bukan tanah mereka. Mereka bukan pemilik dan tiada geran.

“Mereka tidak terus tunduk kepada penguatkuasa, kes berlarutan sehingga perlu campur tangan ahli politik. Masih diraikan dengan ruang diplomasi dan budi bicara,” katanya.

Zurk mempersoalkan mengapa golongan tertentu diberikan ruang dan masa untuk berunding, sedangkan terdapat individu lain yang terus ditekan supaya mengaku salah, menyerahkan semula tanah dan tidak melawan apabila dijatuhkan hukuman.

“Bila kaum bukan-Melayu bersalah, jangan sentuh isu perkauman, tetapi kenapa wujud layanan ‘double standard’ antara kaum? 30 tahun pencerobohan, menanam dan makan hasil lumayan bukan kesalahan kecil.

“Selama 25 tahun pencerobohan, menetap dan menternak bukan kesalahan kecil. Namun anehnya, masih ada budi bicara dan peluang bersuara. Apa nak jadi dengan negara kita?” katanya.

Justeru, PAS Selangor menggesa pihak berkuasa agar berlaku adil dalam setiap tindakan tanpa mengira kaum atau latar belakang demi menjaga integriti undang-undang dan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara. – HARAKAHDAILY 16/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!