DAP dan LGE: Indah khabar dari rupa

Lim Guan Eng
- Advertisement -

DAHULU kita sering dimomokkan bahawa apabila Kerajaan BN dijatuhkan, ekonomi negara ini akan kembali pulih dan berdaya maju.

Wawasan 2020 yang menjadi impian rakyat Malaysia hampir pasti mengalami  kegagalan. Impian itu hanya tinggal menjadi mimpi. Malah Malaysia mengundur jauh kebelakang  ditinggalkan negara-negara seperti Korea dan Singapura malah Thailand dan Indonesia.

Segalanya akan selesai sekelip mata seandainya pemerintah bertukar. Namun ternyata harapan dan impian itu hanyalah palsu.

Hari ini setelah hampir dua tahun kerajaan baru bertukar keadaan menjadi semakin teruk. Di kepala kita, Lim Guan Eng yang mengaku beliau kononnya Umar bin Abdul Aziz adalah pandai ekonomi ternyata gagal sebagai Menteri Kewangan.

Alasan beliau ialah kerana kerajaan terdahulu terlalu bobrok terus diratib sehingga hari ini dan alasan tersebut tidak lagi dapat diterima oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.

Harga getah dan kelapa sawit jatuh merudum menyebabkan rakyat marhaen terus menderita. Lebih memeritkan nilai Ringgit terus menjunam menyebabkan ianya hampir tidak laku di beberapa negara.

Rakyat juga terus dihukum dengan subsidi minyak bersasar dan kenaikan harga barangan yang begitu mendadak.

Hutang negara meningkat sehingga hampir RM800 bilion. Kerajaan juga kelihatannya terus menjarah Petronas yang merupakan kantung utama kewangan negara.

Di masa yang sama, suhu perkauman negara juga semakin meningkat. Penerbitan komik perkauman yang diedarkan kepada 2,500 buah sekolah menunjukkan bahawa DAP mempunyai agenda yang tersembunyi. Malah beberapa pemimpin utama mereka dikaitkan dengan LTTE. Telah ditangkap dan dituduh di mahkamah.

Negeri Kelantan terus dianak tiri malah royalti petroleum tidak dibayar dengan jujur. Kemana hilangnya duit royalti Kelantan yang berjumlah 5 peratus setiap tahun yang telah dibayar oleh Petronas kepada Kerajaan Persekutuan untuk disalurkan kepada Kerajaan Negeri.  Ternyata negeri-negeri pembangkang terus ditekan dan diabaikan.

Penjualan aset utama negara terus berlaku dan dilelong seumpama ‘mega sales’.Ternyata negara telah diuruskan oleh orang yang salah.

Keceluparan Lim Guan Eng juga menyebabkan saham negara jatuh merudum. Ramai pelabur luar telah menarik pelaburan mereka kerana mulut beliau.

DAP juga sebagai tuan besar tanpa segan silu mempertikaikan hak-hak Melayu dan mendesak untuk hak-hak ini disamaratakan.

Di masa yang sama, beberapa kes rasuah yang melibatkan beberapa pemimpin utama DAP juga digugurkan dengan penuh misteri. Kes banglo dan terowong tiba-tiba lenyap tak berbunyi.

DAP bukanlah pilihan yang baik untuk rakyat Malaysia. Mereka tidaklah boleh diharapkan sebagaimana yang kita jangka. Malah mereka adalah perosak yang tidak kita jangkakan.

Jika selama hampir dua tahun ini tiada apa yang boleh mereka lakukan untuk kebaikan terutamanya ekonomi negara, rakyat Malaysia telah tersalah pilih. Semoga ianya memberi pengajaran kepada semua rakyat Malaysia.

Lim Guan Eng semasa pengulungan Bajet telah gagal menjawab dan hanya berputar-putar mencari helah. Lebih perit lagi terdapat kekeliruan yang sangat ketara di dalam buku Bajet apabila Kementerian Pendidikan menegaskan bahawa Program Sarapan Percuma (PSP) berjumlah RM1.67 bilion yang akan bermula tahun 2020 tidak terdapat dalam buku Belanjawan, yang ada hanyalah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sebanyak RM295 juta. Ini kesilapan sangat memalukan beliau sebagai Menteri Kewangan.

DAP dan Lim Guan Eng sebenarnya bukanlah pandai ekonomi dan jujur sebagaimana ada di benak kita semua. Ia jauh menyimpang daripada yang ada di benak kita semua.

Bak kata pepatah Melayu, air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam. Itulah nasib yang  terpaksa diterima oleh rakyat Malaysia.

ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN
Ahli Parlimen Kuala Krai – HARAKAHDAILY 5/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -