Mufti, JAKIM disaran beri pandangan pindaan hukuman

Kes pemandu mabuk sebabkan kemalangan maut

- Advertisement -

PAS meminta jasa baik pihak mufti dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengemuka pandangan pindaan hukuman terhadap pemandu mabuk sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian orang awam. Setakat ini, Kementerian Pengangkutan hanya memfokuskan kepada beberapa pindaan melibatkan Seksyen 41 dan Seskyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu berkaitan hukuman denda serta penjara sahaja. PAS percaya pandangan yang lebih holistik termasuk daripada perspektif Islam perlu diperhalusi kerana ia terkandung dalam aspek Maqasid Syariah dan penjagaan nyawa manusia.

- Advertisement -

Justeru, pihak mufti dan JAKIM boleh menawarkan cadangan berasaskan konteks yang lebih tepat. Contohnya, adakah pemandu mabuk yang melanggar mati orang awam dianggap membunuh dengan niat atau tanpa niat dalam konteks perundangan Islam? Adakah wajar pesalah yang menyebabkan kematian orang awam dikenakan hukuman bunuh juga? Pandangan tersebut amat penting kerana kerana ia boleh menjadi asas pertimbangan terhadap pindaan akta nanti. Setakat ini, hampir semua pihak bersetuju cadangan hukuman yang lebih keras perlu dikenakan terhadap pemandu mabuk, cuma jenis hukuman yang masih menjadi perbahasan.

PAS juga berpendapat satu kajian yang menyeluruh termasuk cadangan penggunaan instrumen kewangan insuran dan takaful sebagai ganti rugi (pampasan) kepada pihak mangsa. Cuma, adakah perkara tersebut dibolehkan sebagai ganti bagi konsep diyat? Perkara ini perlu turut dibincangkan oleh pihak berautoriti dalam urusan agama seperti mufti dan JAKIM. Sementara itu, PAS mahu supaya pindaan akta ini mesti dilakukan dalam sidang Dewan Rakyat bulan Mac ini dan tidak ditangguhkan lagi kerana tempoh masa kajian sudah cukup panjang manakala ini adalah isu yang sangat mendesak.  

Sekian, terima kasih.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)
19 Jamadil Akhir 1441 | 13 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 13/2/2020

- Advertisement -