Pelajar cemerlang terima tajaan SPC, MAIDAM tahun 2024

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Seramai 268 pelajar cemerlang menerima tajaan Skim Pelajar Cemerlang (SPC) bagi melanjutkan pengajian dalam dan luar negara tahun 2024, melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan RM3.58 juta.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 239 pelajar ditaja untuk pengajian dalam negara dengan kos sebanyak RM2.12 juta.

“Manakala 29 pelajar lagi menerima tajaan ke luar negara membabitkan perbelanjaan RM1.45 juta. Bidang utama tajaan termasuk Perubatan, Pergigian, Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, Sains Kesihatan, Pengajian Islam, Perbankan Islam dan Qiraat.

“Bagi tajaan dalam negara, bidang perubatan mencatat jumlah pelajar tertinggi dengan 40 orang ditaja, diikuti program asasi pelbagai bidang seramai 75 pelajar. Kos tahunan bagi tajaan dalam negara adalah antara RM6,000 hingga RM65,000, bergantung bidang dan institusi pengajian.

“Antara institusi yang terlibat termasuk IPTA, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Universiti Malaysia Pahang (UMP). Program yang ditaja meliputi peringkat Ijazah dan persediaan (asasi) untuk pelbagai bidang pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Mohd Husaimi Hussin (PAS-Hulu Besut) ingin tahu berapa orang pelajar cemerlang yang ditaja oleh Yayasan Terengganu untuk melanjutkan pengajian tahun 2024, termasuk bidang pengajian ditaja serta jumlah kewangan yang terlibat.

Sementara itu, beliau berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menerusi Yayasan Pendidikan MAIDAM turut menaja 13 pelajar cemerlang menyambung ke bidang Pengajian Islam di luar negara, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM231,807.

Menurutnya, sembilan daripada mereka dihantar ke Jordan dalam bidang Pendidikan Islam, Fiqh Shafie dan Fiqh Wa Usul, manakala empat lagi melanjutkan pengajian ke Algeria dalam bidang Bahasa Arab dan Syariah.

“Jordan mencatatkan jumlah tajaan tertinggi iaitu RM205,770, diikuti Algeria sebanyak RM26,037,” katanya.

Tambahnya, MAIDAM juga memperuntukkan RM136,832 untuk menaja lapan pelajar cemerlang di bawah Program Memperkasa Ulama’ bagi tahun 2024, merangkumi tajaan penuh ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

“Daripada jumlah itu, enam pelajar menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Usuluddin dan Fiqh Wa Usul, manakala dua pelajar menyambung ke peringkat PhD di Jordan dalam bidang Ilmu Hadis dan Fiqh Wa Usul,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!