ALOR SETAR: Kerajaan Persekutuan perlu memastikan Belanjawan 2024 yang dibentangkan nanti akan memperteguhkan teras Federalisme dengan memastikan agihan secara adil dan seimbang dapat dilaksanakan.
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, prinsip tersebut menuntut tanggungjawab Kerajaan Persekutuan yang diselaraskan ke atas pentadbiran, fiskal dan pembangunan dengan semua negeri.
“Perkara ini tidak hanya menjadi ‘subject matter’ kepada kami di negeri-negeri yang diperintah oleh parti pembangkang, bahkan juga negeri-negeri Borneo; Sabah dan Sarawak yang turut tergolong sebagai negeri miskin.
“PAS Kedah berharap Belanjawan 2024 nanti lebih inklusif, terbuka dan telus. Inklusif dalam konteks ‘no one should be left behind’ sesuai dengan masalah dan cabaran sedang dihadapi rakyat, negara dan dunia ketika ini.
“Terbuka dalam konteks perangkaan strategi, data dan angka menerusi penglibatan pelbagai pihak atau kepakaran. Manakala telus dalam konteks integriti penyampaian dasar-dasar kepada rakyat,” ulas beliau.
Ahli Parlimen Pokok Sena ini mengemukakan Pelan Pembangunan Kedah 2035 di bawah Kerajaan Negeri Kedah sebagai contoh ‘roadmap’ yang memerlukan kerjasama daripada pihak Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, pelan telah tersedia itu dapat direalisasikan dan dicapai dalam tempoh berbaki menerusi hubungan Persekutuan-Negeri sebagaimana termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, kepentingan rakyat ini tidak harus diketepikan disebabkan perbezaan parti politik yang memerintah. Kami akan konsisten bercakap di atas topik yang sama ini sehingga Kerajaan bertindak dengan cara yang sepatutnya.
“Selain soal teras federalisme, cabaran semasa bagi Kedah antaranya adalah soal menguruskan kemiskinan, memperbaiki taraf hidup rakyat selain memastikan peningkatan tahap mobiliti sosial. Ia berbalik kepada prinsip ‘people’s economy‘.
“Hari ini ramai yang bercakap soal peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat naik selain isu-isu mendasar yang lain seperti stok beras tempatan yang dilihat tidak diurus isu tersebut dengan baik.
“Bagaimana Belanjawan 2024 akan menjadi suatu intervensi fiskal strategik untuk menghadapi isu-isu rakyat ketika ini? Jadi, keutamaan sudah tentulah kepada kesejahteraan rakyat di samping asas hubungan federalisme yang saya sentuh tadi,” ujarnya.
Beliau juga mahu Kerajaan Persekutuan sedia menunaikan aspirasi rakyat Kedah yang tentunya meletakkan kepercayaan untuk projek-projek penting telah dirancang dan diluluskan di masa lalu menjadi kenyataan.
Antaranya kata beliau, pembangunan Kedah Aerotropolis melibatkan pembangunan beberapa komponen seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tidak didiskriminasikan kerana sentimen politik.
Sedangkan kata Dato’ Ahmad, rancangan tersebut pernah melibatkan pelbagai pihak berautoriti, selain telah dan sedang memenuhi syarat-syarat berkaitan yang diperlukan bagi memulakan pembangunannya.
Begitu juga menurutnya, projek-projek seperti Kedah Rubber City (KRC), Zon Ekonomi Khas Sempadan Delapan (Delapan SBEZ) dan Pelabuhan Yan di mana turut memerlukan sentuhan dan tanggungjawab Persekutuan.
Selain itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan sedia memenuhi permohonan Kedah untuk diberi pampasan berkaitan komitmen mengekalkan tanah sawah untuk keterjaminan pengeluaran beras di Jelapang Padi Malaysia.
Termasuk katanya, pemeliharaan dan pemuliharaan Hutan Simpan Kekal Ulu Muda yang menjadi kawasan tadahan dan aliran sumber air mentah Sungai Muda bagi kegunaan negeri-negeri utara termasuk Perlis dan Pulau Pinang.
Beliau juga berharap Kerajaan Persekutuan menjayakan Belanjawan 2024 agar dapat meningkatkan peranan pasukan keselamatan dan agensi yang bertanggungjawab mengawal sempadan dan pintu-pintu sempadan di negeri Kedah.
Jelas Ustaz Ahmad, ia penting bagi memastikan mereka dapat melaksanakan tugas dengan berkesan dan menjamin ketenteraman awam dan kedaulatan negara dari segala gugatan atau ancaman pelbagai anasir yang wujud. – HARAKAHDAILY 27/9/2023
Teguhkan teras Federalisme, penuhi aspirasi rakyat
Belanjawan 2024: Harapan PAS Kedah kepada Kerajaan Persekutuan