KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika memberi pandangan terhadap pemimpin kerajaan supaya tidak berdepan tindakan undang-undang.
Beliau merujuk satu kes yang berlaku di Bachok, Kelantan membabitkan seorang lelaki yang ditahan selepas memuat naik video yang dikatakan berunsur penghinaan terhadap Perdana Menteri ke-10 (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim di platform TikTok, Matpakistan.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, berdasarkan laporan media oleh Sinar Harian, lelaki terbabit telah ditahan oleh pihak polis atas tiga sebab yang utama.
“Suspek menggelarkan PMX dengan jolokan mengaibkan iaitu ‘Ketimbang’ dan ‘Bang Non’. Selain membuat tuduhan bahawa PMX hadir ke Bachok, Sabtu lalu semata-mata ‘mengencing’ atau menipu rakyat yang hadir ke Majlis Aidilfitri Madani di Pantai Irama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan sebarang gelaran berbaur penghinaan terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi mengelak dikenakan tindakan.
“Justeru semua pihak diharap berhati-hati. Jangan sesekali gelarkan PMX sebagai Ketimbang, Bangnon atau menyatakan beliau ‘mengencing’ iaitu dengan maksud menipu,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Fadhli secara sinis membangkitkan perbezaan layanan apabila pemimpin pembangkang menjadi sasaran kenyataan berbaur penghinaan oleh pihak lain.
“Jika gelarkan pemimpin pembangkang, itu cerita lain. Seperti Abang Mat kata ‘Hadi Awang bohong’ atau seperti Khalid Samad kata PAS membawa politik ekstrem dan sekular, itu tidak apa,” sinisnya. – HARAKAHDAILY 16/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!