Sukan perkukuh hubungan Kelantan dan Narathiwat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Hubungan dua wilayah di Malaysia dan Thailand terus diperkukuhkan menerusi penganjuran Sukan Muhibbah antara Kelantan dan Narathiwat bermula pada 17 dan 18 Mei depan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata satu pertemuan kedua-dua pihak diadakan bagi memastikan penganjuran acara itu lancar.

Beliau berkata sebanyak lapan acara sukan yang bakal dipertandingkan termasuk sukan rakyat seperti lumba kaki tiga, lari dalam guni selain aktiviti kesenian membabitkan dua wilayah.

“Kita telah setuju untuk adakan lapan acara yang melibatkan pegawai sukan Kelantan dan Narathiwat di mana acara yang dipertandingkan sepak takraw terbuka, bola sepak dan sebagainya.

“Selain itu kita adakan acara kesenian, kita harapkan dengan perbincangan hari ini acara ini dapat berjalan dengan baik, membina hubungan muhibbah Kelantan dan Narathiwat,” katanya.

Menulis dalam satu hantaran _Facebook_ hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra itu memaklumkan acara tersebut diadakan di Stadium Utama Narathiwat membabitkan 151 penyertaan.

Terdahulu, beliau bersama rombongan Kelantan, Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Urus Setia Belia dan Sukan (UBeS) menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Sukan Muhibbah Malaysia Thailand di Narathiwat.

Turut hadir hadir pertemuan tersebut delegasi MSN Kelantan diketuai Pengarah MSN Kelantan, Mohd Sabilly Ramli; Pengarah UBES, Mohd Kamal Mohamed dan Timbalannya, Mohd Firdaus Nawi.

Rombongan Kelantan turut dibawah melawat lokasi utama penganjuran sukan tersebut iaitu Stadium Utama Narathiwat yang terletak kira-kira 66 kilometer dari sempadan negara di Rantau Panjang.

Venue tersebut akan dijadikan sebagai gelanggang utama acara itu katanya, melalui aktiviti sukan, kebudayaan dan kesenian hubungan antara dua wilayah itu dapat disuburkan. – HARAKAHDAILY 15/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!