Isu komik: DAP wajar diharamkan

- Advertisement -

TAHNIAH saya ucapkan kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana menggunakan budi bicara beliau bagi mewartakan Perintah Larangan terhadap komik bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 selaras dengan gesaan saya pada 21 Oktober lalu.

Asas yang digunakan oleh Tan Sri Muhyiddin dalam mewartakan Perintah Larangan ini adalah kandungan komik ini mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan.

Kandungan komik ini juga, menurut Tan Sri Muhyiddin, cuba mempromosikan idealogi Komunisme dan Sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang Komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Begitupun, pewartaan Perintah Larangan terhadap komik ini tidak lengkap jika ia tidak disusuli oleh penggunaan budi bicara Menteri Dalam Negeri bagi mewartakan DAP sebagai menyalahi undang-undang kerana komik yang diharamkan ini didukung oleh dua pemimpin tertinggi DAP selaku penulis prakatanya, iaitu Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pewartaan ini boleh dibuat oleh Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan yang memperuntukkan “Maka adalah sah di sisi undang-undang bagi Menteri, menurut budi bicaranya yang mutlak, dengan jalan perintah, mengisytiharkan sebagai menyalahi undang-undang mana-mana pertubuhan, cawangan atau peringkat atau jenis pertubuhan yang pada pendapatnya, adalah atau sedang digunakan bagi maksud yang memudaratkan atau yang bertentangan dengan kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana tempat di dalamnya, ketenteraman awam atau akhlak.”

Selain itu, Pendaftar Pertubuhan Malaysia juga boleh membatalkan pendaftaran DAP mengikut Seksyen 13(1)(c)(ii) Akta Pertubuhan yang memperuntukkan “Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan jika Pendaftar puas hati bahawa pertubuhan itu mungkin digunakan bagi maksud-maksud yang menyalahi undang-undang atau bagi maksud-maksud yang memudaratkan atau yang bertentangan dengan keamanan, kebajikan, ketenteraman atau akhlak di dalam Persekutuan.”

Pendaftar Pertubuhan Malaysia juga boleh membatalkan pendaftaran DAP mengikut Seksyen 13(1)(c)(iii) Akta Pertubuhan yang memperuntukkan “Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan jika Pendaftar puas hati bahawa pertubuhan itu adalah berusaha hendak mencapai tujuan-tujuan lain daripada tujuan-tujuan yang ia didaftarkan.”

Inilah langkah paling wajar setelah kandungan komik ini diputuskan mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan selain cuba mempromosikan idealogi Komunisme dan Sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan Komunis.

Malaysia akan lebih selamat tanpa DAP.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus


Kongsikan maklum balas mengenai isu ini di pautan berikut:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2838703489472996&id=569086473101387HARAKAHDAILY 24/10/2019

- Advertisement -
- Advertisement -