MACHANG: Kerajaan negeri berpuas hati terhadap perkembangan projek naiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Condong daripada 45 juta liter sehari (JLH) kepada 70 JLH.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Dr Izani Husin berkata, pihaknya memperuntukkan kos keseluruhan sebanyak RM9.45 juta.
Beliau berkata, projek dilaksanakan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bermula pada November 2024, dijangka siap pada penghulu tahun 2026 bakal sekali gus menyelesaikan gangguan bekalan air.
“Saya berasa puas hati setelah dibentangkan status kemajuan projek dan kemajuan sebenar di tapak oleh AKSB, yang mendahului jadual, ini menunjukkan kesungguh AKSB dan pihak kontraktor.
“Ia akan memenuhi keperluan air kawasan terlibat, pada masa sama masalah ‘air hitam’ akibat kehadiran unsur asing juga akan diselesaikan,” tulisnya dalam hantaran Facebook hari ini.
LRA Merbau Condong membekalkan air bersih yang membabitkan hampir 33,094 akaun pengguna di jajahan seperti Machang, Pasir Puteh termasuk Kota Bharu Selatan dan Kota Bharu Timur.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu meluangkan masa bersama pegawai dan kakitangan AKSB meninjau status perkembangan projek dan melihat sendiri kerja yang dilakukan.
Turut hadir dalam lawatan tersebut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Saizol Ismail dan Pengurus Besar AKSB, Izani Ismail
Media sebelum ini melaporkan masalah bekalan air keruh yang berwarna kemerahan dan tidak terawat membelenggu sebahagian institusi pengajian tinggi awam sekitar Machang dan Ketereh.
Selain penduduk, gangguan membabitkan kampus Universiti Teknologi Mara (UITM) Kelantan di Machang, Kolej Matrikulasi Kelantan dan Politeknik Kok Lanas bakal ditangani sepenuhnya. – HARAKAHDAILY 15/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!