Ancaman alam maya: Cegah terjebak jenayah

KAJIAN pada 2011 mendapati setiap hari sejuta orang menjadi mangsa siber. Angka tersebut mungkin meningkat lebih dua ke tiga kali ganda pada tahun 2020 berdasarkan perkembangan serta kecanggihan teknologi maklumat.

Permasalahan yang perlu diberi perhatian serius oleh pelbagai pihak hari ini adalah ancaman alam maya. Malah jenayah siber di seluruh dunia termasuk Malaysia sangat membimbangkan apabila laman-laman sesawang kerajaan juga tidak terkecuali menjadi mangsa penjenayah alam maya ini.

Kesan kerana kurangnya kesedaran, tidak mengambil berat isu semasa, kurang rujukan, keinginan yang tinggi, tidak mengukur kemampuan diri, ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa alam maya atau mangsa siber. Ada di antara mereka yang terpedaya oleh kenalan media sosial dan akhirnya menjadi mangsa yang melibatkan kerugian ratusan, ribuan malah jutaan Ringgit.

Advertisement

Akibat terlalu tamak inginkan jalan singkat untuk menjadi kaya, akhirnya menjadi mangsa ‘scammer’. Lebih menyedihkan, terdapat juga kes-kes wanita yang menjadi mangsa ‘love scam’ hinggakan foto-foto aksi peribadi mereka dimuat naik ke laman sosial bertujuan ugutan bagi mendapatkan duit oleh kekasih alam maya.

Paling membimbangkan trend kewujudan laman sosial mencari pasangan atau cari jodoh (online dating) yang lebih banyak memberi kesan negatif kepada pengguna tidak kira faktor umur dan mendatangkan penyakit sosial yang sangat serius. Melalui kajian yang dijalankan oleh pelbagai pihak, pengguna telah menyalahgunakan kemudahan aplikasi-aplikasi tersebut yang menyebabkan salah laku moral.

Bukan itu sahaja, terdapat ramai mangsa yang juga dijadikan keldai dadah dan juga keldai akaun melalui perkenalan di laman sosial. Mereka dijanjikan dengan imbuhan yang lumayan. Apabila ianya terjadi, kesannya amatlah buruk kepada mangsa serta keluarga dari aspek psikologi, emosi dan implikasi undang-undang. Awas! Mangsa siber atau jenayah alam maya bukan satu isu baru. Ia telah wujud semenjak internet diperkenalkan.

Malu, kecewa, sedih, marah dan tertekan adalah antara kesan psikologi yang dialami oleh mereka yang pernah mengalami ‘peristiwa pahit’ di alam maya. Walaupun banyak kebaikan dan manfaat yang diperolehi daripada kecanggihan teknologi ini, jika digunakan secara salah atau berlebihan pasti akan mendatangkan kemudaratan berpanjangan.

Jangan sesekali menyalahkan teknologi kerana manusia diberikan akal untuk berfikir baik dan buruk. Apabila membincangkan mengenai jenayah siber pasti ramai beranggapan majoriti mangsanya adalah wanita. Sangkaan tersebut ternyata silap kerana hakikatnya golongan lelaki yang lebih terdedah kepada jenayah di alam maya tersebut.

Isu yang diketengahkan di sini bukanlah berkenaan bagaimana jenayah siber dilakukan tetapi mengapakah jenayah ini sukar dibendung dan langkah mengelak (avoidance) yang boleh dilakukan bagi mencegah dari menjadi ‘mangsa siber’. Tambahan pula kes dilihat semakin meningkat semenjak April tahun lalu ekoran majoriti rakyat Malaysia melakukan tugas mereka secara dalam talian sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Antara beberapa faktor yang dikenal pasti ialah:

(1) Sukar dikenalpasti siapakah penjenayahnya.

Siapakah penjenayah siber? Apakah jenayah yang dilakukan? Di mana jenayah dilakukan? Soalan-soalan yang sukar dijawab. Biasanya jenayah siber melibatkan jenayah komersial melibatkan ‘rompakan’ atau ‘pemindahan’ wang yang banyak kepada akaun penjenayah. Kalau jenayah lain senang dikenali contohnya perompak tentu sekali memegang senjata, penculik tentu sekali meminta wang tebusan tetapi bagaimana mengenali penjenayah siber. Satu masalah utama untuk membezakan ancaman siber dengan ancaman fizikal adalah untuk menentukan siapa yang menyerang sistem kita, mengapa, bagaimana, dan dari mana? Mungkin perlakunya kawan, mereka yang dikenali atau kekasih kita, mungkin bekas suami atau isteri, mungkin rakan perniagaan atau siapa sahaja.

(2) Sikap manusia ‘Human attitude’.

Sikap manusia memang sesuatu yang sukar dikawal. Kita tidak boleh mengubah kelakuan seseorang melainkan orang itu sendiri mengubahnya. Jenayah siber sering dilakukan oleh manusia yang mempunyai kelakuan yang negatif. Mereka mengaut keuntungan dengan menipu. Ada yang menyerang sistem kerajaan hanya sekadar suka-suka ataupun mencuba ilmu yang baru mereka pelajari seperti yang dilaporkan baru-baru ini. Ada segelintir penjenayah siber ini yang mungkin berdendam dengan mangsa kerana sejarah lampau. Selalunya mereka yang berdendam ini akan melakukan apa sahaja melalui internet bertujuan memalukan mangsa.

Walaupun literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia berada dalam kedudukan yang agak baik, namun kesedaran berkenaan jenayah siber masih perlu dipertingkatkan sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat. Pengguna perlu ada kesedaran keselamatan siber. Begitu juga dengan keperluan sesebuah negara mempunyai undang-undang siber yang selaras dengan negara lain di dunia bukan saja wajar malah amat penting. Ini kerana jenayah siber tidak seperti jenayah lain yang mempunyai bukti-bukti fizikal di tempat kejadian bagi memudahkan analisis mencari penjenayah.

Justeru tugas pihak polis juga semakin tercabar dengan meningkatnya kadar jenayah siber setiap hari. Pastinya pihak polis dan pihak yang terlibat dalam penguatkuasaan undang-undang alam maya harus lebih maju beberapa langkah daripada penjenayah alam maya bagi menyekat kegiatan mereka yang bukan hanya mendapatkan keuntungan secara salah tetapi boleh mengancam keselamatan negara.

SAIFUL HAMIRUZZAMAN MOHD HAZIR
Exco
Pertubuhan Pengamal Pencegahan Jenayah Kuala Lumpur (KLCPPA) – HARAKAHDAILY 1/3/2021