Lebih 4,000 kes glaukoma direkod di Kelantan

Hilmi (dua dari kiri) menyempurnakan perasmian di samping Dr Zaini (dua dari kanan)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) merekodkan 4,069 kes membabitkan penyakit glaukoma pada tahun lalu, maklum Pengarah JKNK, Dato’ Dr Zaini Hussin.

- Advertisement -

Menurutnya, daripada jumlah itu, 3,767 kes dilaporkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, manakala 302 kes pula di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.

Menurutnya, JKNK ketika ini mempunyai dua doktor pakar glaukoma yang perlu mengendalikan pesakit di HRPZ II dan HSIP.

“Pada tahun lalu, lebih 4,000 pesakit menerima rawatan di klinik glaukoma dan 101 pembedahan penyakit itu berjaya dijalankan di hospital berkenaan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Sambutan Minggu Glaukoma Sedunia Peringkat Negeri Kelantan bagi tahun 2025 di Kompleks Belia dan Sukan, Panji di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah.

Dr Zaini seterusnya berharap rakyat di Kelantan mempunyai kesedaran untuk mengesan penyakit ini sekiranya mata berada dalam keadaan tidak selesa atau sakit, sekali gus dapat mencegahnya daripada menjadi buta.

“Pemeriksaan mata secara berkala adalah langkah pertama yang sangat penting dalam pencegahan dan pengesanan awal penyakit ini sekurang-kurangnya sekali setahun.

“Kita juga perlu memastikan masyarakat terus mendapat akses kepada maklumat yang tepat mengenai simptom-simptom glaukoma dan rawatannya,” katanya.

Majlis berkenaan merupakan anjuran bersama JKNK dan Jabatan Oftalmologi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Sementara itu, Hilmi ketika berucap merasmikan majlis berkenaan berkata, glaukoma merupakan punca kedua kebutaan di dunia dan menyumbang kira-kira 6.6 peratus kes kebutaan di Malaysia.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Minggu Glaukoma Sedunia 2025 yang diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit senyap itu.

Katanya, sambutan tersebut menjadi platform penting untuk menyebarkan maklumat tentang kepentingan pengesanan awal dan pencegahan glaukoma dalam kalangan masyarakat.

“Dengan adanya Minggu Glaukoma Sedunia ini, kita dapat memberi perhatian yang lebih serius terhadap kepentingan pemeriksaan mata secara berkala bagi semua individu, terutamanya mereka yang berisiko tinggi.

“Antaranya termasuk mereka yang berumur 40 tahun ke atas, mempunyai sejarah keluarga dengan glaukoma, atau menghidap penyakit seperti diabetes dan hipertensi,” jelasnya.

Menurut beliau, kesedaran masyarakat masih rendah terhadap glaukoma yang sering tidak menunjukkan simptom awal dan hanya dikesan apabila sudah berada di tahap serius.

“Sambutan ini merupakan platform yang baik untuk kita berkongsi maklumat mengenai langkah-langkah pencegahan dan kepentingan kesedaran tentang glaukoma,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakan-rakan media agar menjadi agen penyampai maklumat bagi menyebarluaskan kesedaran kepada masyarakat.

“Saya ingin menyeru kepada semua yang hadir, terutamanya rakan-rakan media yang dikasihi agar menjadi duta kesedaran glaukoma.

“Semakin ramai yang mengetahui tentang penyakit glaukoma, semakin besar peluang kita untuk menyelamatkan deria penglihatan kita dengan pengesanan awal dan rawatan yang tepat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!