Dikir barat halaqat diperkenal terap nilai Islam

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: “Sehingga kini, tiada negeri lain yang mampu mendakwa dikir barat sebagai milik mereka ini keistimewaan kita. Maka, sewajarnya ia dipelihara,” kata Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar itu mengulas mengenai dikir barat dan dikir barat halaqat diperkenalkan oleh kerajaan negeri bagi menyemarakkan lagi hiburan tempatan yang selaras dengan kehendak agama.

Beliau berkata, seni warisan yang sarat dengan nilai murni dan dakwah Islamiah perlu dipelihara sebaik mungkin agar tidak dicemari dengan unsur negatif selain bertentangan syariat Islam.

“Namun sayangnya ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyalahgunakan dengan memasukkan unsur lucah dan kata-kata celupar yang telah menyeleweng dari maksud hiburan dalam Islam.

“Kita tidak mahu dikir barat nanti dikenang hanya kerana tarian dan lirik tidak senonoh, sedangkan asalnya ada seni yang luhur dan menjadi suara rakyat dalam menyampaikan nasihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Seminar Kebudayaan Islam 2025 yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Kamarudin Md Nor dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, Dato’ Hassan Mohamood.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan dikir barat yang disampaikan kumpulan Dikir Sri Halaqat Kelantan diketuai Imam Tua Masjid al Qasimi, Ustaz Ismail Muhammad atau Tok Imam Pa.

Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad al Bakri turut menyampaikan ucaptama bertajuk Kebudayaan dan Kesenian Menurut Kacamata Islam.

Selain itu satu seminar diadakan membariskan Prof Emeritus Dato’ Dr Johari Mat dan Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Badlishah Alaudin dan dipengerusikan oleh moderator, Mohd Hariri Mohamad Daud. – HARAKAHDAILY 15/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!