Tauliah mengajar: PN minta pihak lawan hulur bukti

- Advertisement -

KOTA BHARU: PERIKATAN NASIONAL (PN) menuntut pihak yang mendakwa calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 DUN Ayer Kuning menipu dalam urusan permohonan tauliah mengajar agama Islam di Perak supaya mengemukakan bukti.

- Advertisement -

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung PAS bagaimanapun berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Ustaz Abdul Muhaimin Malek untuk memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut.

“Selama ini calon kita (Abdul Muhaimin) sudah menjadi guru agama yang bertauliah di negeri berkenaan. Bagi saya pihak yang mendakwa perlu kemukakan bukti,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kota Bharu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media sebelum ini berhubung perkara itu pada majlis di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Bentara Kanan Ustaz Datuk Ahmad Yakub serta lain-lain pimpinan.

Sebelum ini, Abdul Muhaimin yang merupakan Yang Dipertua PAS Tapah menjadi kontroversi apabila didakwa menipu Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mendapatkan tauliah mengajar agama di negeri terbabit.

Berhubung majlis Aidilfitri, Takiyuddin memberitahu jemputan bukan hanya masyarakat dalam Parlimen Kota Bharu, sebaliknya daripada luar seperti Kuala Lumpur.

Beliau menganggarkan tidak kurang 10,000 hadir pada majlis sambutan tersebut yang turut dihadiri wakil-wakil rakyat serta pegawai-pegawai kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 14/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!