PRK Ayer Kuning: PN sedia hadapi tiga atau empat penjuru

- Advertisement -

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) bersedia berdepan pertandingan tiga atau empat penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak pada 26 April ini.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setakat ini dikhabarkan lebih dua calon akan bertanding pada PRK tersebut.

Katanya, terpulang kepada pengundi untuk memilih calon yang bertanding, namun calon PN yang diketengahkan adalah anak tempatan dan individu terbaik untuk diberi kepercayaan.

“Barisan Nasional (BN) menurunkan calon cucu kepada orang Cina, manakala calon yang kita tampilkan pula ialah anak Cina.

“Kita memang bersedia sama ada tiga atau empat penjuru,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakub.

Tuan Ibrahim berkata, jentera PN juga telah mula bekerja keras lebih awal di semua peti undi dengan memberi tumpuan terhadap isu-isu tempatan.

“Isu tempatan ini biasanya akan menjadi perkara utama penduduk,” ujarnya yang kelmarin mengumumkan Pengerusi PN Tapah, Abdul Muhaimin Malek, 43, sebagai calon PN bagi PRK DUN Ayer Kuning.

Pengumuman tersebut dibuat pada Majlis Pengumuman Calon PN di Padang Awam, Tapah Road. – HARAKAHDAILY 10/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!